Karikatur ‘dedak’: Nga disiasat bawah Akta Hasutan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak polis akan membuka kertas siasatan ke atas ahli parlimen DAP Nga Kor Ming mengikut Akta Hasutan kerana posting di Facebooknya yang didakwa menghina sambutan Aidilfitri.
"Kita sudah memulakan siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948.
"Kita juga akan menyiasat sama ada entri tersebut Nga yang buat atau tidak," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis umah terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Sri Satria di Putrajaya, hari ini.
Pada 6 Julai lalu, Nga yang juga ahli parlimen Taiping menyiarkan karikatur kanak-kanak dan tetamu menerima sedekah duit raya dan menyamakannnya sebagai rasuah dan 'dedak'.
Posting itu kemudiannya dikeluarkan dari laman Facebooknya.
Ketua Polis Negara mengingatkan orang ramai agar tidak membuat kenyataan tidak sensitif seumpama itu, terutama dalam masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia.
"Tindakan Nga merupakan satu tindakan yang mempermainkan agama Islam.
"Ini merupakan satu perkara yang tidak sepatutnya dibuat oleh seorang yang bergelar Yang Berhormat di sebuah negara majmuk," katanya.
Nga Selasa lalu juga mengundang masalah apabila memuat naik gambar yang berlatar belakangkan rumah api dan bendera Amerika Syarikat dalam ucapan Aidilfitri di akaun Facebooknya.
Posting itu juga dipadamkan selepas mendapat kritikan daripada warga maya mahupun ahli ahli politik.

