Kaitkan Zakir dengan IS, PERKASA buat laporan polis
PERKASA hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh Malaysia (MCCBCHST) yang didakwa mengaitkan pendakwah Islam tersohor, Dr Zakir Naik dengan serangan pengganas di Dhaka, Bangladesh baru-baru ini.
Dalam laporan polis yang dibuat Penolong Setiausaha Wira PERKASA Zahir Zulkamar, beliau berkata dakwaan oleh NGO antara agama itu adalah kenyataan umum dan tanpa bukti kukuh.
Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kumpulan tersebut kerana didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan serta menyentuh sensitiviti umat Islam.
"Dakwaan mereka (MCCBCHST) hanya kenyataan umum kerana tiada bukti kukuh dan tiada dakwaan setakat ini yang disabitkan ke atas Dr Zakir Naik.
"Pihak mereka dilihat seperti ingin memecah belahkan perpaduan antara rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam.
“Mereka juga dilihat sengaja mencetuskan kebimbangan dan memburukkan imej agama Islam di negara ini sekaligus menyamakan Islam dengan keganasan," kata Zahir dalam laporan polis berkenaan.
MCCBCHST sebelum ini dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Zakir meracuni fikiran anak muda dengan idea yang membawa kepada keganasan.
Timbalan Presidennya yang juga adalah Presiden Malaysia Hindu Sangam, Datuk RS Mohan Shan turut menggesa Putrajaya untuk membatalkan anugerah Maal Hijrah yang diberikan kepada Zakir di samping menghalang beliau daripada seterusnya menyampaikan ceramah di negara ini.
Kenyataan itu dibuat berikutan laporan akhbar berbahasa Inggeris Bangladesh, The Daily yang melaporkan bahawa dua pengganas yang terbabit dalam pembunuhan 20 tebusan di Dhaka, Bangladesh adalah pengikut media sosial Zakir.
Bagaimanapun, Zakir kemudian menafikan bahawa ucapannya menggalakkan keganasan, dan mengalu-alukan siasatan terhadap dirinya.

