Ketua Penasihat Kumpulan Jabatan Pengarang akhbar Malaysian Nanban dan Timbalan Presiden Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) Athi Kumanan meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai di sini awal hari ini. Beliau berusia 55 tahun.

Pengurus Besar Malaysian Nanban M.Periasamy berkata Athi, yang meninggal dunia pada jam 12.10 pagi, menghidap komplikasi darah beku dari kaki hingga ke pinggul.

"Kami akan kehilangannya...beliau seorang wartawan yang dinamik, sentiasa ingin membantu orang lain," kata Periasamy, yang telah mengenali Athi sejak lebih 30 tahun lalu.

Menurut Bernama, m ayat mendiang telah dibawa ke rumahnya di 55, Jalan 6/18B, Taman Batu Permai di Jalan Ipoh di Kuala Lumpur dan akan dibawa ke krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Cheras pada jam 4 petang esok untuk upacara pembakaran, kata Periasamy.

Setiausaha Agung IPF V.Senggutuan berkata Athi adalah seorang pemimpin yang berani dan tidak jemu-jemu memperjuangkan kepentingan masyarakat India menerusi penulisannya.

Lulusan Universiti Annamalai

"Beliau mempunyai peminat yang ramai kerana kritikannya yang tajam dan kupasan yang mendalam dalam tulisannya di akhbar," katanya.

Athi memulakan kerjaya sebagai penyunting dengan akhbar Tamil Malar pada 1972, setahun selepas beliau memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Annamalai di India.

Beliau berpindah ke Tamil Osai pada 1981 sebelum menyertai Malaysian Nanban pada 1990 sebagai Ketua Pengarang.

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pengarang Urusan pada 2000 dan dinaikkan pangkat ke jawatan terakhirnya pada 2002.

Athi meninggalkan seorang balu B.Indravathi, 47, dan anak lelaki, Arun Kumar, 22.