Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak mahu kehadiran perwakilan Israel di Persidangan Keamanan Palestin selama tiga hari di Putrajaya, disalah tafsir atau dipolitikkan.

Bernama memetik beliau sebagai berkata, walaupun parti pembangkang, PAS memulaukan persidangan tersebut, itu, tetapi terdapat beberapa pemimpin PAS yang menghadirinya secara tidak rasmi.

"Kita mesti membezakan antara kerajaan Israel dan penduduk Israel yang berusaha untuk mencapai keamanan dan menyokong usaha Palestin. Saya rasa kita patut menganggap keseluruhan isu seperti ini...bahawa kita perlukan mereka untuk bercakap bagi pihak, bukan sahaja di luar Israel malah dalam Israel sendiri," kata Syed Hamid.

"Jika bilangannya mencukupi (rakyat) dalam Israel yang berkongsi objektif mahu melihat kelahiran negara Palestin yang demokrasi, bebas, maka kenapa kita tidak mahu mendengar pendapat mereka. Mengapa kita tidak boleh mengundang mereka ke sini," kata kepada pemberita berhubung tindakan PAS memulaukan persidangan yang bermula hari ini.

Sebelum itu, beliau berucap di majlis makan tengah hari persidangan tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya. Persidangan itu dianjurkan oleh Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia).

Menurut Syed Hamid, kehadiran beberapa aktivis Israel di persidangan tersebut tidak harus disalah tafsir kerana mereka tidak mewakili kerajaan negara berkenaan.

Hapuskan penindasan

"Kita (Kerajaan Malaysia) tidak sehaluan dengan kerajaan Israel namun di sini, kita adalah individu yang berkongsi pandangan yang sama seperti rakyat Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut mengenai tindakan PAS itu, Syed Hamid berkata: "Saya yakin pada amnya ahli PAS menyokong penubuhan negara Palestin dan mereka mahu menghapuskan segala penindasan dan ketidakadilan yang berlaku."

Ditanya sama ada Malaysia akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel dalam masa terdekat ini , Syed Hamid berkata adalah terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai perkara itu.

"Di sini (persidangan) merupakan inisiatif persatuan awam. Kita terima hakikat resolusi Pelan Damai. Dua negara (Israel dan Palestin) hidup sebelah-menyebelah...sama ada kita akan jalin hubungan diplomatik dengan negara-negara ini, tidak wajar dibincangkan sekarang," katanya.

Beliau berkata keutamaan Malaysia sekarang ialah untuk melihat konflik itu diselesaikan secara aman.

"Jangan kaitkan persidangan ini dengan perakuan kerajaan. Ada aktivis Israel yang bersetuju untuk hadir dan saya anggap ia baik.

"Anda minta persatuan-persatuan awam tanpa mengira dari negara mana sekali pun untuk membincangkan mengenai keamanan, keadilan. Aman Malaysia sudah berjaya. Ia tidak wajar disalah tafsir," katanya.