Kesemua sampel sosej yang disita dari Muller Sausage Haus Sdn Bhd dan Pacific Refrigerating di Kuala Lumpur dalam satu operasi pada 14 Mac lalu, bebas daripada menggunakan usus babi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengesahkan hari ini.

Menteri berkenaan Datuk Mohamed Shafie Apdal berkata beliau telah menerima keputusan analisis `Deoxyribonucleic acid' (DNA) dengan menggunakan `polymerase chain reaction' (PCR) yang dilakukan oleh Jabatan Kimia di Petaling Jaya Khamis lalu yang mendapati sampel itu adalah daripada sumber haiwan ayam.

"Manakala sarung sosej berkenaan adalah daripada sumber haiwan biri-biri. Sumber babi tidak dikesan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Bernama melaporkan,dalam operasi itu, 150 karton sosej ayam daripada Muller Sausage Haus dan 65 karton burger ayam dan lembu dari Pacific Refrigerating yang beroperasi di Jalan Ipoh dekat sini serta Selayang Baru, disita.

Beliau berkata kesemua keputusan mendapati empat sampel sarung sosej diperbuat daripada sumber kambing biri-biri, satu sampel sarung sosej diperbuat daripada tumbuhan, tiga sampel sosej tanpa sarung adalah daripada sumber ayam dan tiga sampel sosej bersarung pula sosej daripada sumber ayam dan sarung daripada sumber kambing biri-biri.

Keputusan itu termasuk analisis jabatan berkenaan terhadap sampel sosej yang dibekalkan oleh Muller Sausage Haus Sdn Bhd kepada premis makanan gudang perabot terbesar di Damansara, Ikea, katanya.

Sarung sosej

Shafie berkata jabatan itu telah menggunakan teknik DNA untuk menganalisis isi kandungan dan buatan sampel berpandukan piawaian MS1500 Makanan Halal (Pengeluaran, Pengendalian dan Penyimpanan) Garis Panduan Umum yang diwartakan pada 10 Julai tahun lalu.

"Ini bermakna daripada hasil sampel-sampel berkenaan, kementerian dengan ini mengesahkan bahawa tidak ada sosej atau sarung sosej yang dikeluarkan oleh kilang berkenaan dibuat daripada sumber babi," katanya.

Bagaimanapun kedua-dua kilang itu akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menggunakan logo halal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang telah tamat tempoh pada 28 Jan 2004, katanya.

Jika didapati bersalah kedua-dua syarikat itu boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM100,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-dua sekali bagi orang perseorangan atau maksimum RM250,000 bagi syarikat korporat.

Ketika ditanya mengenai sama ada syarikat itu dibenarkan beroperasi semula, Shafie berkata terpulang kepada syarikat terbabit jika mahu memperbaharui logo halal mereka, sambil menjelaskan ia adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kementerian akan terus menjalankan pemeriksaan untuk mengetahui sama ada sumber bahan bagi membuat sosej di syarikat-syarikat makanan datangnya daripada sumber halal ataupun sebaliknya," katanya.

Beliau juga mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan berhubung pengeluaran dan penyediaan makanan, barangan dan perkhidmatan untuk orang beragama Islam