Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pua soal sama ada Deloitte diperdaya oleh 1MDB
Diterbitkan:  Jul 13, 2016 2:38 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua mempersoalkan sama ada firma audit Deloitte Malaysia "diperdaya" oleh 1MDB untuk mempercayai bahawa syarikat pelaburan negara yang bermasalah itu telah menebus pelaburan kontroversinya di Kepulauan Cayman pada 2014.

Ketika itu, terdapat kebimbangan besar ke atas pelaburan AS$2.318 bilion 1MDB dalam sebuah dana pelaburan yang kabur berpangkalan di Kepulauan Cayman.

Kesahihan pelaburan itu secara terbuka dipersoalkan dan syarikat itu di bawah tekanan besar dengan tuntutan supaya wang tersebut dibawa pulang.

"Berdasarkan keterangan Deloitte kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), juruaudit khususnya berkeras mahu 1MDB dapat menebus sebahagian besar, jika tidak semua pelaburan di Cayman,” kata Pua yang juga anggota PAC dalam satu kenyataan semalam.

"Akaun akhirnya ditandatangani oleh Deloitte apabila 1MDB dapat menunjukkan kepada juruaudit bahawa AS$1.22 bilion telah ditebus. Wang itu bagaimanapun, tidak dibawa pulang ke Malaysia."

Beliau menegaskan bahawa penyata kewangan 1MDB pada Mac 2014 menyatakan bahawa jumlah yang ditebus daripada pelaburan di Kepulauan Cayman sebaliknya digunakan sebahagian besarnya untuk tujuan pembayaran faedah hutang, modal dan bayaran kepada Aabar (Investments PJS Ltd atau Aabar BVI) sebagai deposit yang dikembalikan."

Walau bagaimanapun, berikutan siri pendedahan oleh Sarawak Report, Pua berkata kini terdapat kebimbangan bahawa tidak ada wang sedemikian yang ditebus dari dana yang dilaburkan Cayman.

Menurut Pua, adalah didapati bahawa 1MDB, melalui anak syarikat milik penuhnya Global Investment Limited (1MDB GIL), kemudiannya membuat beberapa pembayaran yang besar kepada Aabar BVI pada 2014.

"Mengapa 1MDB GIL membayar Aabar BVI wang berkenaan meskipun tidak ada transaksi, perjanjian perniagaan atau urusan antara kedua-dua entiti itu?

“Mengapa pemindahan dana ini tidak dinyatakan dan dijelaskan semasa keterangan (ketua 1MDB) Arul Kanda kepada PAC? " soalnya.

Pua mendakwa transaksi itu seolah-olah cuba untuk "memperdayakan" Deloitte untuk menerima bahawa dana yang kononnya diterima daripada pelaburan Kepulauan Cayman telah digunakan untuk membayar Aabar BVI.

"Pokoknya, wang yang digunakan untuk membayar Aabar (BVI) bukannya datang daripada pelaburan kontroversi Cayman tetapi daripada dana 1MDB sendiri melalui anak syarikat milik penuhnya, 1MDB GIL!" kata Pua.

"Kami menggesa Deloitte menyemak semula dokumen yang dibekalkan kepada mereka, bagi mereka menjadi begitu berpuas hati untuk menandatangani akaun 1MDB dengan begitu mudah.

"Sekiranya dokumen-dokumen yang dibekalkan kepada mereka terbukti ada unsur penipuan atau dimanipulasi, mereka mesti segera memfailkan laporan polis untuk membersihkan nama mereka dan memastikan bahawa penjahat disiasat," katanya.

Pua sebelum ini telah menimbulkan kebimbangan bahawa pembayaran kepada Aabar Investments PJS, anak syarikat International Petroleum Investment Corporation (IPIC), kerana adalah dilaporkan bahawa bayaran hampir AS$1 bilion tidak sampai kepada mereka.

Sebaliknya wang itu disalurkan kepada syarikat yang berbeza? Aabar Investments PJS Ltd (Aabar BVI) yang didaftarkan di Kepulauan British Virgin.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS