Nampaknya rakyat telah bertemu ramuan terbaik untuk menggugat kekuasaan Dr Mahathir Mohamad. 'Demonstrasi jalanan,' begitu istilah popular pada kertas-kertas alasan untuk mengurung selama dua tahun enam aktivis reformasi di kem Kamunting mulai 2 Jun.

Perhimpunan, walau bagaimana aman dan dihujahkan pula sebahagian hak asasi utama, tetap dipandang penuh curiga oleh pihak berkuasa. Perkumpulan 50 atau 100 orang sahaja sudah cukup untuk mengundang sepasukan polis antirusuhan.

Anwar Ibrahim, kata seorang aktivis reformasi, memberitahunya: 'hanya ada dua perkara yang ditakuti Dr Mahathir; pertama, (terjadi sesuatu ke atas) anak-anaknya dan kedua, demonstrasi.' Anwar mendedahkan hal itu ketika mereka sibuk menjelajah negara untuk menjawab tuduhan terhadapnya sebelum ditangkap 20 September 1998.

Kata-kata Anwar itu terbukti sudah. Sejak tarikh itu, polis bertindak tegas (baca juga: keras) terhadap usaha merancang dan menganjurkan perhimpunan. Sesiapa yang menghadirinya, atau hanya menonton berdekatan kumpulan demonstran, kemungkinan besar dihambat dengan kasar - atau jika berdegil, tanggung sendiri risikonya.

Antara 20 September hingga 24 Disember tahun itu, 28 orang, termasuk Anwar dan sahabatnya, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Namun, demonstrasi kini menjadi pentas luahan politik yang makin popular, walau banyak waktunya jumlah kehadiran kecil, akibat perancangan yang tergesa-gesa dan dikendalikan tidak berkesan serta tiada tokoh besar. Kepopularannya meningkat mendadak akhir-akhir ini apabila 10 aktivis reformasi ditahan ISA pada April lalu.

Bagaimanapun, dalam begitu banyak perhimpunan, hanya ada satu tarikh yang nampaknya tidak boleh diampun kerajaan (baca: Dr Mahathir). Tarikh itu, jika cuba menganjurkan demo, akan membawa kesan yang besar kepada suhu politik negara ini - sama ada di peringkat tempatan atau luar negara.

Sudah tiga kali tarikh itu dirayakan oleh penyokong reformasi dan ketiga-tiganya menghadapi risiko yang semakin meningkat. Tarikh ini berhubung rapat dengan percaturan awal Anwar-Mahathir.

Kawalan ketat keselamatan

Hari musuh politik Perdana Menteri itu dijatuhkan hukuman bagi kes rasuah - kononnya bagi menutup siasatan 'tabiat di luar tabie' - menjadi tarikh paling misteri. Kenapa hari ini tidak boleh dirayakan dalam bentuk perhimpunan sehingga sesiapa yang cuba berbuat demikian harus memikul beban yang maha berat?

Apakah pertanyaan ini seperti juga matematik, setiap jawapannya terdapat dalam soalan itu sendiri?

Pada 14 April 1999, Kuala Lumpur dilanda gegaran demonstrasi selama hampir lapan jam. Daripada saat Anwar dijatuhkan hukuman enam tahun penjara, penyokong reformasi mengadakan tunjuk perasaan di sekitar kawasan mahkamah sehingga jam 5 petang.

Malah, 12 jam sebelum itu, sekumpulan pelajar telah mula melancarkan kempen berhubung isu itu sehingga beberapa hari kemudian.

Begitu juga 14 April tahun lalu, sepasukan besar polis pelbagai unit dikerahkan di semua tempat strategik untuk menyambut kehadiran demonstran - bermula Masjid Negara hingga ke kompleks Sogo. Walau kawalan keselamatan sangat ketat dan menakjubkan, sekurang-kurangnya 2,000 orang menghadirinya di celah-celah kesibukan orang ramai. Kira-kira separuh daripada mereka berada di masjid itu walau telah diberikan amaran bertubi-tubi.

Seminggu sebelum sambutan itu, Dr Mahathir awal-awal lagi menuduh penyokong reformasi bercadang bertindak ganas. Akibatnya, polis menangkap beberapa aktivis reformasi, khususnya pemimpin Pemuda Parti Keadilan Nasional, beberapa hari sebelum sambutan itu. Tidak cukup di Kuala Lumpur, tangkapan terhadap penyokong kecil reformasi juga dibuat di Pulau Pinang dan Melaka.

Tangkapan itu, yang disifatkan sebagai 'mencegah,' berakhir tanpa sebarang pertuduhan di mahkamah.

Tahun ini, kerajaan tidak sanggup lagi mengerahkan ribuan anggota keselamatan di tengah-tengah Kuala Lumpur. Tahun lalu, kerahan itu dibuat kerana dikhabarkan penyokong reformasi dari seluruh negara akan menggunakan pelbagai jenis pengangkutan awam - khususnya keretapi dan bas - untuk berhimpun di tengah ibu kota. Kebimbangan polis itu disokong pula dengan laman web 'Black 14' yang memperincikan butiran pergerakan manusia dan jadual perhimpunan.

Polis terpaksa mengerahkan pelbagai peringkat sekatan jalan raya untuk menakut-nakutkan penyokong reformasi bergerak.

Gulingkan kerajaan melalui demo

Tahun ini, walaupun pada asalnya perancangan demonstrasi tidaklah sempurna berbanding tahun lalu, kerajaan meningkatkan langkah keselamatan yang luar biasa. Tiga, empat hari sebelum 'Black 14,' tujuh aktivis reformasi ditahan di bawah ISA.

Bagaimanapun tangkapan yang menggemparkan itu tidak berjaya mematahkan semangat penyokong reformasi, sebaliknya membangkitkan lagi rasa meluat mereka. Walaupun diberikan pelbagai amaran, dan dibacakan koleksi 'cerita-cerita spy ' daripada Ketua Polis Negara, beberapa ribu penyokong reformasi terus berhimpun di perkarangan bangunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada pagi Sabtu itu.

Wakil-wakil kumpulan masyarakat dan badan bukan kerajaan yang merancang untuk menyerahkan memorandum berhubung pelbagai aspek hak asasi tidak berganjak walau perancangan saat-saat akhir dibuat dalam keadaan sangat berhati-hati kerana suhu politik yang panas waktu itu.

Entah mengapa 'Black 14' - atau ulang tahun Anwar dijatuhkan hukuman penjara - sangat ditakuti regim Dr Mahathir. Tarikh itu cukup kuat menghantuinya dan sedaya upaya mungkin tidak mahu dikenang-kenang lagi, bukan sahaja oleh dirinya sendiri tetapi juga oleh orang ramai, termasuk penyokong Anwar.

Tetapi setiap kali cuba dipadamkan, ia berakhir dengan ingatan yang semakin kukuh.

Tarikh itu rupa-rupanya lebih kuat kesannya daripada tarikh pemecatan Anwar (2 September) atau hari rakyat memprotes besar-besaran (20 September). Di kalangan penyokong reformasi, 20 September lebih aula diingati, bukannya 2 September. Bagaimanapun tiba-tiba 14 April, akibat tindakan kerajaan sendiri, menjadi tarikh keramat yang terus-menerus diingati sebagai hari Anwar dijatuhkan hukuman. Tarikh itu seolah-olah pasak yang dihentak-hentak ke dalam benak.

Tahun ini, Ketua Polis Negara menghalalkan operasi tangkapan ISA dengan cerita pelancar bom, bahan letupan, bom api (molotov cocktail), bebola penggalas dan senjata berbahaya. Norian Mai juga mendakwa aktivis reformasi bercadang mengumpul 50,000 penyokong pada hari itu.

Kenyataan akhbar Norian pada 11 April memperincikan beberapa 'langkah' yang telah dibuat dan akan diambil oleh kumpulan reformasi sejak September 1998 hingga April lalu.

Antaranya: Kumpulan reformasi merancang menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan secara besar-besaran dan bersiap-sedia bertindak melalui beberapa pendekatan: mendapatkan bantuan guru-guru silat serta mempengaruhi bekas sebilangan bekas pegawai dan anggota keselamatan supaya menyertai gerakan mereka, selain menyediakan bahan letupan dan bom petrol.

Darurat atau perintah berkurung?

Beliau membebel lagi: Pada akhir tahun lalu, aktivis reformasi membuat ketetapan untuk menggunakan dua pendekatan bagi mencapai matlamat, terus terlibat dalam proses demokrasi serta sistem pilihan raya; dan mencetuskan demonstrasi jalanan secara besar-besaran menjelang pilihanraya umum 2004.

Kata Norian lagi, bagi menjayakan strategi itu, satu 'kumpulan sulit' yang dianggotai lebih kurang 20 orang aktivis reformasi diwujudkan di Kuala Lumpur. Sejak 6 Januari hingga 4 April lalu, 12 perjumpaan diadakan bagi mempengaruhi orang ramai agar 'membudayakan' demonstrasi jalanan.

Ketua polis itu seterusnya mendakwa, perancangan terpenting gerakan reformasi (waktu itu) adalah menganjurkan demonstrasi jalanan 'Black 14' secara besar-besaran di Kuala Lumpur pada 14 April.

Beliau menambah, bagi mengelirukan polis, acara tersebut dipanggil 'Perhimpunan Penyerahan Memorandum Rakyat Mengenai Hak Asasi Manusia'. Aktivis reformasi merancang untuk mengumpulkan lebih kurang 50,000 orang dan mereka berhimpun di sekitar Kuala Lumpur.

Sejak tiga tahun lalu, inilah kali pertama polis secara rasmi mendedahkan watak sebenar - dari kaca mata pihak keselamatan - apa yang dinamakan 'gerakan reformasi' dan kebimbangan sebenar kerajaan. Kenyataan Norian itu bolehlah diumpamakan 'kertas putih' bagi menghalalkan tindakan kerajaan melanggar Memali (Kedah, November 1985).

Jelas, Mahathir bimbang rakyat berkumpul beramai-ramai. Seolah-olah lautan manusia di tengah-tengah kota itu wajah ngeri yang sering muncul mengusik minda bawah sedarnya dan terbawa-bawa di alam mimpi.

Jika setiap tahun kerajaan mengenakan tindakan yang semakin keras terhadap sambutan 'Black 14', kita tidak dapat membayangkan bagaiman sikap kerajaan Dr Mahathir menjelang atau pada 14 April tahun depan.

Amaran, tangkapan, kerahan polis dan kempen media telah berkali-kali dibuat tetapi orang ramai masih berdegil. Tanpa angin, tanpa ribut, tahun ini kerajaan sanggup menggunakan ISA.

Tahun depan, agaknya apa pula tindakan Mahathir - darurat atau perintah berkurung?

Keterangan gambar (mulai paling atas): perarakan reformasi ke Dataran Merdeka, 20 September 1998; 'Memorandum Rakyat' di pejabat Suhakam 14 April; membantah hukuman Anwar sembilan tahun penjara di Masjid Negara 11 Ogos tahun lalu; membantah ISA di KLCC 4 Jun; menyokong rawatan Anwar di luar negara Suhakam 24 Mei


FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini