DAP fail laporan polis ke atas demo ‘duit neraka’ Umno
DAP hari ini memfailkan satu laporan polis ke atas perhimpunan Pemuda Umno-Gerakan Merah yang diadakan di hadapan ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, semalam.
Ketua pentadbiran ibu pejabat DAP, Chu Yoon Ming berkata laporan itu dibuat kerana beliau merasakan dirinya diugut dengan tindakan kira-kira 150 penunjuk perasaan yang menurutnya sebahagian besar mereka adalah ahli Pemuda Umno.
Selain daripada melaungkan slogan berbaur perkauman semasa demonstrasi semalam, duit neraka juga dicampakkan dan Chu berkata beliau juga terkena lontaran duit berkenaan.
Mengecam tindakan penunjuk perasaan, setiausaha penganjur DAP Anthony Loke berkata melontarkan duit neraka adalah satu bentuk ugutan jenayah dan mereka yang berbuat demikian mengancam untuk membunuh.
"Oleh kerana tindakan mereka mengancam keselamatan pemimpin DAP dan kakitangan di ibu pejabat DAP, laporan polis ini dibuat.
"Ini supaya menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam membuat ancaman itu," kata Loke kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju hari ini.
Sementara itu, Bendahari Pemuda DAP Selangor Muhammad Shakir Ameer mahu Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menjelaskan pendiriannya berhubung demonstrasi semalam.
“Apakah pendirian kamu mengenai demonstrasi itu?
"Khairy sentiasa memaparkan dirinya sebagai progresif, tetapi melihat video (kejadian semalam), ini menunjukkan bahawa ahlinya tidak seperti itu," kata Shakir.
"Jadi, apa komennya (Khairy) mengenai perkara ini? Adakah dia merestui politik samseng?” soalnya.
Shakir berkata, DAP tidak mempersoalkan hak untuk berhimpun tetapi cara ia dilakukan.
"Apa yang mereka lakukan tidak sesuai. Berkelakuan seperti kumpulan samseng. Lihat sahaja kelakuan mereka semalam," katanya.
Sementara itu, ahli jawatankuasa DAP Selangor Edry Faizal Yusof mempersoalkan sama ada Pemuda Umno cuba menggalakkan keganasan.
"Dalam iklim politik penuh dengan keganasan, apa Pemuda Umno cuba lakukan adalah untuk menjadikan keganasan sebagai budayanya.
"Kita sudah ada (kumpulan pengganas) IS (Negara Islam). Adakah kita mahu Pemuda Umno bertindak ganas juga? "

