Peguam yang mewakili Pengerusi MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan memfailkan permohonan untuk menyemak tahanan reman 21 hari yang dikenakan ke atasnya di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959.

Dalam permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, peguam Gobind Singh Deo berkata keputusan majistret untuk membenarkan reman seharusnya dikaji semula kerana Poca membenarkan penahanan tanpa bicara.

Beliau menegaskan bahawa Sanjeevan tidak termasuk dalam nama-nama dalam “kategori yang boleh didaftarkan” seperti peruntukkan Poca, tetapi di sebalik itu, majistret membenarkan permohonan polis untuk tahanan reman 21 hari.

"Kami percaya bahawa perintah ini perlu disemak kebetulan, kebenaranatau kemusnasabahan terdapatnya di bawah kuasa-kuasa penyemakan yang bijaksana menurut bab XXXI, Seksyen 323 dan 325 Kanun Acara Jenayah yang dibaca bersama Seksyen 34 dan 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

"Oleh kerana undang-undang ini melibatkan tahanan tanpa bicara, kami percaya wujudnya keperluan ketat dalam pengunapakaian peruntukan-peruntukanya di mana sekiranya wujudnya sebarang keraguan, maka perintah tersebut seharusnya disemak,” katanya dalam permohonan itu.

Difahamkan mahkamah secara tentatif menjadualkan pendengaran permohonan itu pada Jumaat ini.

Sanjeevan pertama kali ditangkap pada 22 Jun atas tuduhan memeras ugut RM25,000 daripada seorang pengusaha perjudian haram.

Sepanjang tiga minggu yang lalu, Sanjeevan bagaimanapun, telah dilepaskan dan ditangkap berulang-ulang kali untuk siasatan berasingan mengikut Seksyen 384 dan 503 Kanun Keseksaan yang berkaitan pemerasan dan ugutan jenayah.

Beliau ditangkap buat kali kesembilan pada Ahad lalu di bawah Poca, dan dikenakan tahanan 21 hari oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada hari berikutnya.

Kumpulan hak asasi manusia, Suaram menggesa pembebasan segera Sanjeevan, dengan alasan bahawa polis kekurangan bukti mencukupi untuk mengenakan tuduhan terhadapnya.

[Baca berita penuh]