Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memecat pensyarah yang membuat dakwaan salah mengenai agama Hindu dan Sikh semasa pengajaran kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) sehingga mendatangkan kontroversi baru-baru ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata universiti itu membuat keputusan untuk menamatkan khidmat pensyarah yang bertanggungjawab itu.

Ketika ditemubual saluran radio BFM, pagi ini, beliau berkata dirinya dimaklumkan oleh universiti itu semalam.

"Kita perlu mengambil tindakan tegas," katanya.

Idris bagaimanapun berkata TITAS diperlukan dalam modul universiti.

Bekas menteri besar Terengganu itu berkata demikian ketika disoal oleh pengacara sama ada TITAS diperlukan memandangkan pensyarah berkenaan membuat tafsiran sendiri sehingga mencetuskan kontroversi.

"Apa yang berlaku adalah beliau bertindak di luar batas dan tidak menggunakan kurikulum yang disediakan oleh kementerian, itu perlu difahami sepenuhnya. Kami serius mengenainya," kata menteri itu.

"Kami telah memberitahu pensyarah supaya mematuhi dasar-dasar kerajaan."

Jun lalu, pensyarah yang tidak dinamakan itu menimbulkan kontroversi apabila menyatakan bahawa Islam mengajar masyarakat Hindu tentang pentingnya kebersihan tubuh badan dan penjagaan kesihatan.

Ia menyatakan sebahagian penganut Hindu menganggap kekotoran yang ada pada tubuh badan sebagai sebahagian daripada amalan yang boleh menyampaikan seseorang hamba ke alam Nirvana.

Satu lagi slaid TITAS, UTM yang diedarkan di media sosial berkata agama Sikh adalah gabungan unsur-unsur keagamaan Hindu dan Islam, tetapi pengasasnya tidak memahami Islam secara mendalam.

[Baca berita penuh]