Pemuda Umno telah menyerang balas ke atas seorang pemimpin MCA kerana menyamakan tunjuk perasaan di ibu pejabat DAP dengan kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

"Menyamakan tindakan Pemuda Umno menyerahkan memorandum kepada ibu pejabat DAP dengan pengganas IS menunjukkan pemikiran yang cetek.

"Ketua Biro Keharmonian Kaum dan Agama MCA, Ti Lian Ker hendaklah siasat terlebih dahulu mengapa memorandum itu dihantar," kata Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bantahan tersebut adalah sebagai tindak balas kepada cubaan provokasi oleh DAP.

"Tanggungjawab untuk mengekalkan keamanan tidak hanya terletak kepada satu pihak, jika tidak ada provokasi DAP, maka bantahan seperti itu tidak akan dilakukan juga.

"Provokasi agama perlu dihalang oleh semua pihak, tidak kira agama apa, sama ada Buddha atau Kristian, ia adalah tanggungjawab semua," kata Mohd Razlan.

Ti dalam kenyataannya semalam menggesa tindakan diambil ke atas ahli Pemuda Umno yang mengambil bahagian dalam bantahan terhadap Anggota Parlimen Taiping dari DAP, Nga Kor Ming berhubung catatan di Facebook oleh pemimpin DAP berkenaan yang dianggap menghina Islam.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan Pemuda Umno berhimpun di depan ibu pejabat DAP semalam bagi membantah tindakan ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming yang didakwa menghina sambutan Aidilfitri sebagai wajar.

Katanya, tindakan Pemuda Umno itu bagi mempertahankan maruah dan integriti orang Melayu berikutan penghinaan yang dibuat oleh wakil rakyat DAP.

[Baca berita penuh]