Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim kini bercakap tentang 'rela bersendirian'
Diterbitkan:  Jul 14, 2016 1:29 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sekali lagi mengulangi bahawa perbezaan antara pembangkang mesti dihormati.

Setelah mencetuskan perbincangan meluas semalam, beliau, bagaimanapun, hari ini kelihatan sedikit berlapik, apabila turut menegaskan sejarah membuktikan PAS rela bersendirian pada masa-masa tertentu.

“Seperti yang disebut di artikel yang lepas, perbezaan ini perlu dihormati dan tidak perlu menjadi titik pertikaian.

“Sejarah membuktikan bahawa PAS rela bersendirian bilamana dasar PAS dipertikai dan ditentang oleh rakan tahaluf (kerjasama politik),” katanya dalam kenyataan susulan selepas cadangan 'gencatan senjata' pembangkang semalam.

Tuan Ibrahim semalam menawarkan “gencatan senjata” kepada Pakatan Harapan untuk menggembleng tenaga bersama untuk menumbangkan BN.

Gesaan itu rata-rata disambut positif pemimpin pembangkang.

Cuma serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH) kelihatan agak berhati-hati apabila meminta ia dibincangkan semula dalam PAS supaya tiada “pusingan U” dibuat selepas ini.

Perpecahan pembangkang gagal memberi kesan positif buat masa ini apabila mereka memberi majoriti lebih besar buat BN dalam dua pilihan raya kecil baru-baru ini kerana gagal mewujudkan situasi satu lawan satu.

Islam jalan keluar

Dalam artikel bertajuk “Apakah ada jalan keluar? Bahagian 2” itu, Tuan Ibrahim mengakui kini terlalu banyak harapan diletakkan di bahu pembangkang ketika berdepan pelbagai kemelut dalam negara.

“Andainya pembangkang gagal atas pelbagai faktor, apakah sudah tiada jalan keluar dari kemelut yang ada?

“Sebenarnya tidak, tapi ia tidaklah mudah,” katanya yang kemudian menegaskan PAS tetap percaya bahawa Islam adalah jalan keluar daripada kemelut itu.

Tuan Ibrahim menegaskan mereka istiqamah mendaulat Islam.

“Selagi istiqamah ini berterusan, PAS tidak akan rugi termasuklah dalam kerjasama politik. Kita berjuang kerana Islam dan untuk Islam.

“Inilah nilai perjuangan Islam yang menjadi pegangan kita. Inilah erti berjuang kerana Allah. yang membezakan PAS daripada parti-parti yang lain,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Tuan Ibrahim dan sedang menunggu maklum balas beliau berkaitan isu itu.

[Baca kenyataan penuh Tuan Ibrahim]

Lihat Komen
ADS