Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yakin parti baru yang dikatakan bakal  ditubuhkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan berjaya.

Shamsul berkata, walaupun Mahathir mempunyai jasa yang besar kepada negara, tetapi hala tuju dan matlamatnya kini tidak jelas.

“Rakyat tidak mahu lagi politik pura-pura, adu domba, politik pecah belah, politik retorik dan sebagainya tetapi apa yang mereka inginkan adalah pembangunan dan pembelaan.

“Sebab itu rakyat akan memilih parti politik yang ada rekod pencapaian konsisten dan (ada) hala tuju yang jelas, bukan parti politik yang ditubuh berasaskan kepada sentimen marah, perasaan benci dan sebagainya,” kata Shamsul.

Spekulasi bertiup kencang bahawa Mahathir, doktor perubatan 91 tahun, bakal menerajui parti baru, yang terdiri daripada bekas anggota Umno.

Mesyuarat Mahathir bersama pemimpin pembangkang, pemimpin masyarakat sivil serta anggota dan bekas anggota Umno yang menolak kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dijadual di Putrajaya petang ini.

Keputusan itu dinanti-nantikan semua pihak.

Sementara itu, pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Shamsul berkata beliau yakin apa yang akan dilaksanakan Mahathir tidak akan memberi kesan kepada Umno.

“Saya tak nampak akan berlaku perpecahan di kalangan ahli parti kerana kita yakin kewujudan parti baru tidak akan memberi kesan besar kepada kita,” katanya yang juga adalah pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Negara (PTPTN).