Nga Kor Ming perlu diajar, kata Umno Cheras
Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mempertahankan tindakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang mengadakan demonstrasi di ibu pejabat DAP pada hari Selasa yang lalu.
Beliau yang juga setiausaha badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan menegaskan, tindakan melampau batas Nga Kor Ming perlu diajar supaya perkara yang sama tidak berulang.
"Pemuda Umno Wilayah Persekutuan telah bangun, ini satu peringatan kepada bukan Melayu terutama DAP supaya menghormati perasaan umat Islam dan orang Melayu," ujar beliau dalam blognya, hari ini.
"Inilah akibat provokasi yang dilakukan oleh pemimpin DAP, mereka sengaja membangkitkan kemarahan umat Islam dengan mempersendakan amalan bersedekah pada sambutan Hari Raya Aidil Fitri," tambahnya.
Pemimpin DAP berkenaan sepatutnya lebih memahami sensitiviti orang Melayu memandangkan Nga merupakan seorang wakil rakyat, jelasnya.
"Sebagai wakil rakyat, sepatutnya Nga Kor Ming lebih faham, tetapi malangnya perbuatan beliau amat keji, biadab dan kurang ajar," tegasnya lagi.
Selain menghina maruah orang Melayu dan umat Islam di negara itu, kata Syed Ali, tindakan Ngar Kor Ming itu diibaratkan seperti 'percikan api' untuk mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.
"DAP sengaja panaskan isu agama dan adat resam umat Melayu, perbuatan itu tidak boleh dimaafkan begitu sahaja.
"Kita tidak mahu perpaduan antara kaum dibinasakan oleh sentimen politik rasis yang diamalkan oleh DAP dan telah dilakukan oleh Nga Kor Ming secara sengaja," menurut beliau.
Para pemimpin Umno sentiasa menghormati kedudukan bukan Melayu di negara ini kerana berpegang kepada konsep dan piagam yang telah tertera dalam Perlembagaan Persekutuan, tambahnya.
"Kita (Umno) tidak pernah hina mereka malah kita hormati hak dan kebebasan beragama bukan Islam," kata Syed Ali lagi.

