'Superman': Ini pandangan saya, tak wakili DAP
Ahli-ahli sejarah tidak boleh melihat isu pertikaian maritim serantau dari perspektif sempit seperti aspek patriotisme, menurut Hew Kuan Yau.
Ahli DAP tersebut yang terkenal dengan gelaran 'Superman' itu berkata demikian sebagai mengulas kritikan dia sebagai tidak patriotik kerana mengatakan Laut China Selatan adalah milik kerajaan Republik Rakyat China dalam catatan Facebooknya.
"Sebagai seorang graduan PhD dalam bidang perbandingan sejarah, saya mempunyai pandangan sejarah sendiri mengenai isu Laut China Selatan.
"Ini adalah pandangan saya sendiri dan tidak mewakili pandangan DAP.
"Saya melihat isu ini dari aspek geopolitik dalam memahami peranan Hawks Amerika Syarikat dan haluan kanan Jepun di belakang Filipina," jelasnya kepada Malaysiakini, melalui mesej teks.
Pagi ini, jurucakap gerakan belia Challenger, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu DAP mengambil tindakan terhadap Hew di atas keceluparannya dalam isu berkenaan.
Sambil menggelarkan Hew sebagai Superman paling bodoh, Syed Saddiq berkata, kenyataannya itu bersifat mengalah, tidak berasas dan tidak patriotik.
Mengulas lanjut, Hew berkata, ahli-ahli sejarah tidak boleh sempit melihat masalah dari semata-mata perspektif patriotisme.
"Kita perlu memahami dan menyelesaikan pertikaian itu dari sudut mempertahankan keamanan serantau dan global," tambah beliau.
Sementara itu, Naib Presiden DAP, Teresa Kok berkata, beliau terkejut dengan kedua-dua kenyataan oleh Hew dan Syed Saddiq walaupun menyokong kebebasan bersuara.
"Saya terkejut dengan komen Hew juga, saya menyokong tribunal antarabangsa di Hague," katanya.
"DAP tidak pernah diberi kuasa Hew sebagai jurucakap hal ehwal asing.
"Beliau membuat komen dalam kapasiti peribadinya, terpulang kepada beliau untuk mengatakan apa yang dia mahu di Facebook," tambah Teresa.

