Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyokong Kongres Pendidikan Melayu ke-2 untuk menggesa kerajaan supaya mengkaji semula penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran matematik dan Sains.

Timbalan Presiden Keadilan, Dy Syed Husin Ali bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kongres Pendidikan, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa kaedah pengajaran itu, jika berterusan, boleh mengancam kedaulatan bahasa dan jati diri bangsa Melayu.

"Dari awal lagi PKR menolak dasar menggunakan bahasa Inggeris bagi mengajar Matematik dan Sains walaupun kami setuju bahawa mutu penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar perlu ditingkatkan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, Keadilan ingin menegaskan bahawa dasar tersebut tidak akan dapat menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Sebaliknya, kata beliau, penggunaan bahasa Inggeris untuk Matematik dan Sains akan melebarkan lagi jurang di antara pelajar dari pedalaman yang mundur dan miskin, dengan pelajar dari kawasan maju dan mewah.

Kaji semula

"Ia juga membebankan guru serta murid yang kebanyakannya tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris," katanya.

Malah, katanya, kajian akademik juga menunjukkan bahawa prestasi pelajar dalam bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, bahkan dalam Bahasa Melayu juga, semakin merosot.

Beliau berkata, sudah sampai masa bagi kerajaan mengkaji semula dasar ini dan memberhentikannya sebelum kesan buruk merebak sehingga menjejaskan sistem serta mutu pendidikan negara.

Katanya, jika kerajaan benar-benar mahu menaikkan taraf bahasa Inggeris di sekolah, maka kaedah pedagogi yang profesional hendaklah digunakan dalam pengajarannya.

Selain itu, katanya, bilangan guru yang terlatih serta fasih dalam bahasa Inggeris juga hendaklah

ditambah, begitu juga dengan waktu mempelajari bahasa Inggeris serta memperkenalkan peralatan moden dalam pembelajaran bahasa Inggeris.