Sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dalam serangan trak di French Riviera, Perancis pada Khamis, menurut ahli politik tempatan.

Penyerang merempuh laju orang ramai yang sedang menyaksikan bunga api dalam sebuah festival di situ, menurut Reuters yang memetik pelbagai sumber tempatan.

Kes itu kini disiasat oleh penyiasat antikeganasan negara itu. Senjata dan bom tangan dilaporkan turut ditemui dalam trak itu.

Polis berjaya menembak mati pemandu trak 25 tan yang memandu kira-kira 100 meter sebelum menghentam orang ramai, menurut pegawai kerajaan di kawasan itu Sebastien Humbert kepada radio France Info.

Ketua kerajaan tempatan Christian Estrosi memberitahu media tempatan, pemandu itu melepaskan tembakan rambang terhadap orang ramai.

Tragedi itu mengingatkan kepada serangan IS lapan bulan lalu yang mengorbankan 130 orang di Perancis – insiden paling tragis di Perancis dan Belgium dalam tempoh dua tahun.

Ahad lalu, warga Perancis baru sahaja menarik nafas lega apabila perlawanan bola sepak Euro 2016 berakhir tanpa sebarang kebimbangan berlaku keganasan.

[Baca berita penuh]