Mahkamah tolak permohonan keluarga Anwar
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan semakan kehakiman oleh keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyennya bagi pengampunan diraja atas sabitan kerana meliwat.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin juga menolak permohonan keluarga dan Anwar untuk merujuk persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung bagaimana lembaga itu mencapai keputusannya.
Peguam keluarga itu, N Surendran dan Latheefa Koya, berkata keputusan dibuat dalam kamar.
Bagaimanapun, mereka berkata rayuan akan difailkan terhadap keputusan hari ini.
Pada 24 Jun, tahun lalu, bekas ketua pembangkang itu, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah serta Nurul Nuha memfailkan permohonan dengan menamakan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac, 2015, dan mendesaknya menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan membebaskan Anwar, 68.
Mereka juga memohon perintah mandamus bagi mendesak Lembaga Pengampunan mengadakan semula mesyuarat dan menimbangkan semua perkara berkaitan petisyen bagi pengampunan diraja yang dikemukakan oleh anggota keluarga Anwar dan memberi nasihat yang bersesuaian kepada Yang di-Pertuan Agong.
Anwar, dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, mendakwa bahawa keputusan oleh Lembaga Pengampunan dicapai secara melanggar peraturan keadilan asasi dan oleh itu tidak sah.
Anwar mendakwa bahawa keputusan Lembaga itu tidak pernah disampaikan secara bertulis kepadanya atau anggota keluarganya yang mengemukakan petisyen tersebut.
Beliau mendakwa bahawa keputusan itu juga tercemar dan mempunyai kecacatan kerana Peguam Negara ketika itu adalah pihak yang berkepentingan yang menaruh perasaan kebencian yang berlarutan terhadapnya.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb, 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.

