Seorang pelajar Malaysia dari universiti Singapura cedera dalam serangan trak di Nice Perancis, tetapi kini dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke hospital, lapor The Straits Times.

Esmond Chuah, yang berusia 22 tahun adalah pelajar tahun tiga dari Singapore University of Technology and Design (SUTD).

Beliau adalah antara 12 pelajar SUTD yang berada di Nice untuk program musim panas tiga minggu bermula pada 3 Julai, dan dijangka kembali minggu depan.

Menurut harian berbahasa Inggeris Singapura itu, perkara itu disahkan oleh jurucakap universiti.

Pihak universiti bagaimanapun berkata keadaan beliau "tidak mengancam nyawa", meskipun enggan mengulas bagaimana Chuah tercedera.

"Dia kini dalam keadaan stabil di hospital dan sedang berhubungan dengan ibu bapanya," jurucakap itu dilaporkan berkata, sambil menambah 11 pelajar SUTD lain berada dalam keadaan selamat.

Laporan itu menyatakan bahawa Chuah bersama sekumpulan pelajar dari universiti lain ketika kejadian dan tidak semua rakan universiti beliau hadir pada masa itu.

Akhbar harian itu memetik Presiden Profesor SUTD Thomas Magnanti sebagai berkata bahawa mereka dihubungi semua pihak berkuasa berkaitan, termasuk kementerian luar negeri Singapura, kedutaan, dan bekerjasama dengan perkhidmatan SOS antarabangsa untuk menyediakan sokongan dan kaunseling.

Pegawai-pegawai universiti juga memberi jaminan bahawa mereka sedang melakukan semua yang boleh untuk menyokong dan mengemas kini keadaan pelajar.

Seramai 11 pelajar lain dinasihatkan untuk berada di asrama mereka dan memberi perhatian kepada arahan keselamatan pihak berkuasa Perancis.

Bapa pelajar berkenaan, Chuah Tze Leng menulis di Facebook kira-kira pukul 4 petang ini bagi meminta sebarang maklumat mengenai anaknya.

Sekurang-kurangnya 84 orang terbunuh apabila pengganas memandu trak ke arah orang ramai semasa sambutan Hari Bastille di Nice pada petang Khamis.

Wisma Putra sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam serangan itu.