Seramai 42 orang terbunuh semasa cubaan rampasan kuasa di ibu negara Turki, Ankara yang bermula malam semalam, kata seorang pegawai kanan Turki sekaligus mengesahkan laporan awal agensi berita Anadolu.

Seramai 17 daripada mereka yang terbunuh adalah pegawai polis, lapor agensi itu yang dipetik Reuters.

Sementara itu, Amerika Syarikat menggesa semua pihak di Turki menyokong kerajaan Presiden Tayyip Erdogan ekoran kebimbangan pemimpin dunia mengenai pergolakan di negara anggota NATO yang menjadi jambatan antara Eropah dan Timur Tengah.

Presiden Barack Obama dan Setiausaha Negara John Kerry bercakap melalui telefon dan memberi sokongan kepada Erdogan selepas tentera Turki berkata ia telah merampas kuasa.

"Presiden dan setiausaha bersetuju bahawa semua pihak di Turki harus menyokong kerajaan Turki yang dipilih secara demokrasi, menahan diri, dan mengelakkan sebarang keganasan atau pertumpahan darah," kata White House dalam satu kenyataan.

Sumber-sumber kerajaan Amerika Syarikat berkata usaha rampasan kuasa sedang dijalankan di Turki tetapi ia tidak jelas mengenai apa yang telah berlaku.

Erdogan berikrar mematahkan rampasan kuasa dan orang ramai menjawab gesaaannya untuk menentang perintah berkurung dan mengambil alih jalan raya bagi menyokong beliau.

Erdogan memerintah Turki sejak 2003 dan jika rampasan kuasa terhadap beliau berjaya ia akan menjadi salah satu anjakan terbesar di Timur Tengah dalam beberapa tahun.