Bimbang dengan beberapa insiden vandalisme ke atas kuil-kuil Hindu yang mungkin berunsurkan keterlibatan 'keganasan dan ekstremisme', kumpulan NGO Hindu mahu tindakan pantas daripada kerajaan untuk menghentikannya.

Justeru, Persatuan Rapat Malaysia (Rapat) bercadang untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk mendapatkan perlindungan tambahan ke atas tempat beribadat.

"Kami bimbang terdapat unsur-unsur keganasan atau ekstremisme yang terlibat, kita harus berjaga-jaga di peringkat awal sebelum ia menjadi lebih teruk," kata Penasihat Undang-undang Rapat, M Manogaran dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.

Baru-baru ini, selepas Pulau Pinang menyaksikan empat kuil dirosakkan dalam tempoh dua bulan lalu, dua lagi kuil, satu di Mahang, Kedah dan satu lagi di Selama, Perak juga dirosakkan.

Akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star memetik penjaga kuil Sri Maha Muthumariamman di Mahang, berkata, beliau mendapati patung setinggi 0.9 meter dipindahkan dari tempat asalnya dan dihancurkan.

Sementara itu, penjaga kuil Suba Sri Sakthi Kanagavalli di estet Tong Hurst di Selama, mendapati pintu kayu di dewan utama kuil berkenaan terbuka dan dua patung dipecahkan.

Kedua-dua kejadian berlaku pada Selasa lalu dan barang kemas yang disimpan di bawah patung-patung di kedua-dua kuil juga dilaporkan hilang.

Jarak di antara kedua-dua kuil itu hanya 4 km kerana pekan Selama terletak di sempadan Perak dan Kedah.

Mengulas lanjut, Manogaran berkata, ia bukan sekadar isu Hindu tetapi isu Malaysia kerana semua tempat-tempat ibadat mungkin menjadi sasaran pada masa hadapan.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa kita mempunyai masalah keselamatan yang serius sekarang. Kemudian, barulah kita boleh menangani isu ini," katanya.

"Masyarakat Hindu tidak mempunyai dana yang cukup untuk menyediakan kawalan keselamatan bagi tempat ibadat mereka," kata Setiausaha Agung Gabungan NGO Hindu Malaysia, G Gunaraj.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa perlu meminta bantuan daripada pihak berkuasa.

[Baca berita penuh]