Para pemimpin yang menghadiri mesyuarat Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) Ke-11 pada Sabtu berkata mereka yang menyebabkan berlakunya tragedi MH17 dua tahun lepas perlu diminta
bertanggungjawab dan dibawa ke muka pengadilan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata para pemimpin berkenaan mahu tindakan diambil mengikut Resolusi 2199 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (2014).

"Tragedi MH17 dimasukkan ke dalam kenyataan Pengerusi. Para pemimpin mahu keadilan ditegakkan," katanya kepada media Malaysia pada akhir ASEM selama dua hari di ibu negara Mongolia.

Dalam kenyataan Pengerusi yang dikeluarkan pada akhir sidang kemuncak itu yang dihadiri pemimpin dari 51 negara Eropah dan dan Asia, para pemimpin berkenaan sekali lagi menyampaikan simpati mereka kepada mereka yang kehilangan orang tersayang akibat tragedi itu.

"Tindakan ganas seperti itu mengancam keselamatan penerbangan awam, " kata kenyataan itu.

Sebanyak 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 dari Belanda, menaiki pesawat Boeing 777 yang ditembak jatuh itu ketika ia dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Tiada seorang pun terselamat.

Pesawat berkenaan ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan dilanda ketegangan di Ukraine, berhampiran sempadan Rusia.

Tahun lepas, pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda, Tjibbe Joustra,
mengesahkan pesawat itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu Buk dari darat ke udara di ruang angkasa timur Ukraine.

Laporan itu dikeluarkan selepas siasatan dilakukan selama 15 bulan oleh
pasukan bersama dari Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Rusia.

Zahid berkata perkara itu juga dibincang pada mesyuarat beliau dengan
Perdana Menteri Belanda Mark Rutte di Ulaanbaatar pada Jumaat.
Katanya, siasatan tentang kejadian menembak jatuh pesawat itu sedang
diteruskan dan Malaysia serta Belanda komited untuk membawa pihak yang bertanggungjawab tentang kejadian itu ke muka pengadilan.

-Bernama