Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menghantar notis tuntutan kepada akhbar harian berbahasa Inggeris, The Star, berhubung satu kolum hari ini yang dikatakan memfitnahnya.

"Saya telah mengarahkan peguam saya untuk menghantar notis tuntutan kepada The Star dan kolumnis Joceline Tan kerana laporan palsu dan mengelirukan hari ini, 'Snap election in Penang?'"

Lim berkata artikel itu bukan perkara baru, tetapi mendakwa Tan dengan jelas telah melintasi garisan merah dan dibuat dengan niat jahat untuk memburuk-burukkan reputasi dan imejnya.

Beliau berkata ini bukan kali pertama Tan dan akhbar harian itu memfitnah beliau, dengan memetik saman pada tahun 2012 di mana The Star akhirnya memohon maaf.

Artikel hari ini, kata beliau, mengikuti satu corak serangan media terhadapnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata media kawalan BN seperti The Star berterusan membuat serangan peribadi terhadapnya selepas dua pertuduhan yang didakwanya direka, difailkan terhadapnya oleh Peguam Negara pada 30 Jun 2016.

Dalam tempoh empat bulan yang lalu, tambahnya, media cetak dan media penyiaran kawalan BN telah membuat serangan peribadi terhadapnya dengan melemparkan tuduhan rasuah yang menurutnya tidak berasas, melibatkan jualan secara tender terbuka satu ekar tanah Taman Manggis.

Katanya, walaupun banyak laporan TV dan akhbar mengenai tanah Taman Manggis, namun tegasnya, tiada tuduhan rasuah difailkan terhadapnya yang berkaitan dengan Taman Manggis.

Bagaimanapun, katanya, beliau akhirnya didakwa di mahkamah atas satu perkara yang tidak berkaitan dengan tanah tersebut.

Helah kotor seperti ini, dakwanya, berterusan dengan lagi dakwaan palsu mengenai perkara-perkara yang lain.

https://www.malaysiakini.com/news/348844