Agensi pembantu rumah di Malaysia mendapati semakin sukar untuk memenuhi permintaan bagi mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia akibat persaingan pasaran negara lain yang menawarkan gaji yang jauh lebih tinggi.

Menurut Timbalan Presiden 1 Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA), Jeffrey Fwo, mereka lebih tertarik dengan tawaran gaji tinggi di negara seperti di Hong Kong, Taiwan dan Singapura, menyebabkan bekalan pembantu rumah dari Indonesia tidak seramai dahulu.

Beliau memberitahu Bernama , majikan di Hong Kong dan Taiwan membayar gaji RM1,800 manakala majikan Singapura 220 dolar berbanding majikan Malaysia yang hanya menawarkan gaji RM350 sebulan.

Katanya, kekurangan pembantu rumah asing memang menjadi masalah kerana mereka sudah menjadi satu keperluan seperti kenderaan bagi sesebuah keluarga di Malaysia, kerana kebanyakan suami isteri bekerja.

"Setiap tahun terdapat 50,000 permohonan pembantu rumah," katanya sambil menambah, selain Indonesia, sumber bekalannya adalah dari Filipina, Sri Lanka, Thailand dan Kemboja.

Bagaimanapun, tambahnya, wanita dari Thailand, Kemboja dan Sri Lanka tidak ramai yang berminat untuk menjadi pembantu rumah dan bilangan mereka yang bekerja di negara ini pun sangat kecil.

Katanya, bayaran gaji bagi pembantu rumah dari Filipina pula agak tinggi dan tidak mampu dibayar oleh kebanyakan majikan di Malaysia.

Jeffrey bagaimanapun berkata, kekurangan pembantu rumah Indonesia bukan disebabkan tindakan kerajaan memberikan pengampunan sejak Disember lalu, tetapi kerana persaingan daripada negara lain yang menawarkan gaji yang lebih lumayan.

Bayaran minimum

"Selain itu, terdapat pelbagai undang-undang baru yang diperkenalkan oleh pemerintah Indonesia dan ini menyukarkan lagi pendaftaran seseorang bakal pembantu rumah dari ejen-ejen kami di sana," katanya.

Katanya, disebabkan pelbagai masalah, termasuk peraturan baru di Indonesia, bayaran minimum untuk mendapatkan pembantu rumah juga sudah dinaikkan iaitu daripada RM2,500 kepada RM3,000.

Sehubungan itu, katanya, PAPA telah menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri untuk memohon penambahan negara sumber yang baru seperti Nepal, Myanmar dan Vietnam, katanya lagi.

Sementara itu, seorang ejen pembantu rumah asing, Yanna Idris memberitahu Bernama , kebanyakan pembantu rumah Indonesia yang datang ke negara ini merupakan golongan wanita yang bermasalah dalam perkahwinan.

"Golongan ini mungkin memilih Malaysia disebabkan ingin lari daripada masalah mereka di kampung. Bagaimanapun, ada juga yang datang atas tujuan lain," katanya.

Menurutnya, ada yang datang sebagai pembantu rumah tetapi kemudian mencari alasan untuk lari bekerja di tempat lain, biasanya di restoran, kerana tawaran gaji yang lebih tinggi.

Katanya, mereka yang datang ke negara ini pula kebanyakannya sudah tua, malah ramai yang "hilang" menjelang Hari Raya Puasa dan tidak kembali lagi selepas mengumpul cukup wang.

"Jika bekerja di luar, mereka mampu memperoleh sekurang-kurangnya RM600 sebulan, mereka dapat kebebasan mutlak berbanding terpaksa bekerja di rumah majikan," katanya.