Bagaimana dengan baja dari najis babi, tanya wakil rakyat BN
Seorang Setiausaha Parlimen tergamam apabila Ahli Parlimen dari Arau Datuk Seri Diraja Syed Razlan ibni Syed Putra Jamalullail, bertanya mengenai baja yang dibuat daripada najis babi.
Seorang Setiausaha Parlimen tergamam apabila Ahli Parlimen dari Arau Datuk Seri Diraja Syed Razlan ibni Syed Putra Jamalullail, bertanya mengenai baja yang dibuat daripada najis babi.
Semasa sesi soal-jawab di Dewan Rakyat hari ini, Syed Razlan mula bertanya menenai terdapatnya baja yang import dari negara China yang dibuat daripada najis babi.
Berikutan itu, Bernama melaporkan, Parlimen Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datin Paduka Rohani Abdul Karim 'diasak' dengan pelbagai pertanyaan oleh anggota Dewan.
Sebelum ini isu sarung sosej dibuat daripada usus babi juga heboh diperkatakan.
"Saya fikir soalannya mengenai import pertanian...saya tidak bersedia menjawab soalan itu," kata Rohani kepada pemberita kemudian.
Syed Razlan mahu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin "menyatakan sama ada kelebihan diberikan kepada import pertanian yang dikeluarkan di negara ini yang mutunya setaraf atau lebih baik dari yang diimport."
Baja organik
Syed Razlan juga mendakwa terdapat beberapa keluaran baja daripada najis babi yang diimport dari China digunakan dengan meluas oleh penanam padi di negara ini.
Malah, beliau mendakwa, penggunaannya digalakkan pula oleh sebuah agensi kerajaan negeri.
Rohani berkata, baja buatan China diimport dalam jumlah yang kecil kerana ia lebih murah dan menjimatkan berbanding dengan baja kimia yang diimport dari Jerman.
Beliau berkata kementerian itu sedang berusaha mengurangkan penggunaan baja kimia dengan menggalakkan penggunaan baja organik yang dibuat daripada sisa buangan kelapa sawit dan najis haiwan.
Diminta mengulas lanjut mengenai baja keluaran China itu, Syed Razlan berkata: "Walaupun saya tidak menafikan bahawa penggunaan baja baik untuk tujuan pertanian tetapi sebagai orang Islam, kita mesti berhati-hati dengan apa yang kita sentuh dan gunakan."

