Bawa Tian, Ezam terus ke Kulim: mahkamah
Dua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diperintah dibawa terus dari kem Kamunting, Perak untuk perbicaraan kes berhubung pilihan raya kecil Lunas dan dilarang ditahan di lokap balai polis Kulim, Kedah.
Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Tian Chua dan Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohamad Noor, yang ditahan dua tahun di kem itu, dipindahkan ke lokap itu sejak Jumaat lalu untuk perbicaraan pagi tadi.
Mereka dituduh merusuh dalam perhimpunan di Taman Mewah, Kulim antara jam 6.30 hingga 9 pagi hari mengundi 29 November lalu dan melucutkan hak pemandu serta penumpang lima buah bas yang menuju ke markas Barisan Nasional di Taman Seri Seledang, Lunas.
Mereka juga menghadapi tujuh tuduhan mengurung lima pemandu bas dan dua penumpang pada waktu dan tempat yang sama hari itu.
Hakim Mahkamah Magistret Kulim Johari Hassan memerintahkan demikian selepas mendengar permohonan peguam bela C V Prabakaran.
Peguam itu berhujah dua aktivis reformasi itu tidak perlu ditahan di dalam lokap dengan alasan kedua-duanya bukan penjenayah, sebaliknya tahanan politik.
Prabakaran juga berhujah perjalanan antara kem Kamunting ke mahkamah itu memakan masa tidak sampai dua jam.
Menurut peguam itu lagi, bagi pihak beberapa peguam lain, berkata mereka dan keluarga tahanan ISA itu juga tidak dimaklumkan perpindahan itu.
Arahan orang atasan
Turut dituduh dalam kes itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang Mohd Azmin Ali, Ketua Penerangan Keadilan Ruslan Kasim dan aktivis Pemuda N Gobalakrishnan. Lima lagi penyokong pembangkang, termasuk PAS, yang turut dituduh ialah Zamil Ibrahim, Ahmad Khairuddin Jamaluddin, Mohamed Khairi Yahaya dan Mohd Fauzi Awang Kechik.
Gobalakrishnan hari ini tidak hadir kerana dilaporkan tidak sihat.
Perbicaraan itu ditangguhkan kepada 22 Oktober depan.
Bagi kesalahan merusuh di bawah seksyen 147 Kanun Keseksaan, seseorang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya. Sementara bagi kesalahan mengurung menurut seksyen 342 akta itu, seseorang boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Sementara itu isteri Ezam, Bahirah Tajul Aris, membuat aduan polis di balai Kulim semalam dan mendakwa beliau dinafikan hak melawat suaminya.
"Apabila saya membuat permintaan untuk melawat (Ezam) di balai polis itu semalam, saya diberitahu saya tidak dibenarkan membuat lawatan atas arahan orang atasan," katanya kepada malaysiakini petang tadi.
Bahirah berkata, rombongan keluarga Ezam yang dijadualkan melawatnya di kem Kamunting diberitahu aktivis itu telah dibawa ke Kulim.
Beberapa ratus orang polis
Bagaimanapun beliau dan tiga anaknya dibenarkan bertemu suaminya lebih kurang 45 minit, bermula jam 3 petang tadi di kem itu apabila Ezam dibawa ke Kamunting selepas perbicaraan.
"Beliau (Ezam) kelihatan bersemangat," kata Bahirah.
Sebelum itu, Mohd Yusmadi Mohd Yusof, seorang lagi peguam kes itu memberitahu malaysiakini , berat badan dua tahanan ISA itu merosot.
"Ezam dan Tian kelihatan benar-benar kurus sekarang," katanya, dan menambah bagaimanapun mereka stabil dan bersemangat.
Di luar mahkamah pula, beberapa ratus orang polis daripada pelbagai unit, termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerak Am (PGA) serta tiga buah kenderaan meriam air ditempatkan untuk mengawal keadaan.
Menurut sumber pembangkang, hampir 300 penyokong hadir untuk menyaksikan perbicaraan itu dengan lebih dekat tetapi mereka dilarang berada di kawasan kompleks mahkamah itu
Perbicaraan dibuka kepada umum selepas perbincangan dibuat antara peguam dan magistret. Pada mulanya bilik perbicaraan dibenarkan untuk peguam dan anggota keluarga tertuduh sahaja.
Perbicaraan tersebut bermula 9.45 pagi dan ditangguh kira-kira jam 11.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.