Kes saman fitnah Ibrahim Ali terhadap MP Raub selesai
Kes saman fitnah yang difailkan Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali terhadap Anggota Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz selesai selepas wakil rakyat DAP itu mengemukakan permohonan maaf di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.
Saman itu difailkan berikutan artikel Mohd Ariff Sabri menerusi laman blog beliau bertajuk "Keadaan Negara Kita Hari Ini-Siri 2″ diterbitkan 29 September tahun lepas, yang mendakwa Ibrahim dilantik sebagai pengarah syarikat George Kent (M) Bhd yang terlibat dalam projek pembinaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT).
Mohd Ariff Sabri selaku defendan membacakan kenyataan permohonan maaf itu kepada Ibrahim di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi See Mee Chun.
"Sesungguhnya kenyataan (artikel) adalah tidak benar. Dengan ini, saya menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada Datuk Ibrahim Ali untuk segala kesan dan akibat yang timbul daripada kenyataan tersebut. Saya kesal dengan kenyataan tersebut," katanya.
Permohonan maaf oleh pemilik blog Sakmongkol AK47 itu yang perlu diterbitkan di media merupakan sebahagian daripada terma penyelesaian kes saman fitnah oleh Ibrahim yang difailkan pada 4 November tahun lepas.
Dalam penulisannya, defendan merujuk Ibrahim sebagai "tin kosong" dan "bising mulut" ketika mendakwa presiden PERKASA itu dilantik sebagai pengarah syarikat berkenaan.
Susulan dakwaan itu, Ibrahim menyaman anggota Parlimen DAP berkenaan bagi menuntut RM10 juta.
Selain permohonan maaf itu, Mohd Ariff Sabri juga perlu membayar sejumlah wang yang tidak dinyatakan jumlahnya kepada Ibrahim selewat-lewatnya penghujung bulan ini.
Dalam saman fitnah itu, Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah pada bila-bila masa dilantik sebagai pengarah syarikat George Kent dan menyatakan kenyataan defendan mengenai pelantikan itu adalah satu fitnah yang diterbitkan dengan niat jahat.
Presiden PERKASA itu memohon ganti rugi am, khas dan teladan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain injunksi untuk menghentikan Mohd Ariff Sabri daripada mengeluarkan, menulis, menerbitkan atau menyebarkan apa-apa artikel berunsur fitnah yang serupa terhadapnya.
Kes itu sepatutnya mula dibicarakan semalam.
- Bernama

