Malaysiakini
BERITA

Caj parkir naik, ada pengguna rasa 'terkepung'

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 20 Jul 2016, 12:54 pagi

Pengguna yang meletakkan kenderaan di kawasan parkir milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melahirkan rasa terbeban dengan kenaikan kadar caj letak kereta.

Ia ekoran tindakan DBKL menaikkan kadar caj parkir sehingga 150 peratus di beberapa kawasan termasuk Bukit Bintang, Bukit Damansara, Sri Hartamas, Desa Hartamas, Solaris Mont Kiara, Taman Tun Dr Ismail dan Bangsar.

Dengan peningkatan caj parkir, terdapat juga pengguna yang merasa 'terkepung' dengan pelbagai kos sara hidup yang semakin tinggi termasuk kadar tol serta harga minyak petrol yang meningkat.

Seorang pengurus bank di Taman Tun Dr Ismail Mohd Haizal Yakub, 41, berkata, pihak berkuasa tempatan sepatutnya memberikan notis terlebih dahulu dan tidak menaikkan caj secara tiba-tiba.

Malah, beliau juga melahirkan rasa kesal dengan kenaikan caj tersebut yang dianggap turut menjejaskan perbelanjaan seharian.

"Sedikit sebanyak kenaikan caj parking ini akan beri kesan seperti kami yang parkir di sini sehari suntuk. Terang-terang ia naik 150 peratus dan ia hanya untuk belanja parkir sahaja.

"Dengan kadar tol lagi. Ia sedikit sebanyak jejaskan perbelanjaan harian. Saya rasa bukan semua orang boleh naik bas, ada yang perlu bawa kereta. Jadi alasan itu (supaya guna pengangkutan awam) macam tak kena," katanya kepada Malaysiakini.

Rata-rata pengguna yang ditemui Malaysiakini menggunakan kawasan letak kereta di Taman Tun Dr Ismail, Bangsar dan Bukit Damansara.

Seorang lagi pengguna, Awang Mokhtar, 35, mempersoalkan kenaikan caj tersebut yang dianggap sebagai tidak relevan memandangkan sistem parkir yang sedia ada masih lagi lemah.

"Atas dasar apa mereka nak naikkan caj mahal? Adakah tempat itu eksklusif? Adakah keselamatan kereta akan terjamin? Apa rasionalnya?

"Matlamat tak halalkan cara. Ada yang guna parkir untuk aktiviti harian. Ada yang bekerja yang wajib menggunakan kereta," katanya yang turut berpendapat bahawa tindakan DBKL yang menaikkan caj tersebut akan menyebabkan orang ramai meletakkan kereta secara haram di ibu negara berleluasa.

Wan Saiful Azman, 41, pula berpendapat kenaikan caj parkir tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di bandaraya.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu peribadi itu berkata, apa yang perlu dilakukan pihak DBKL ialah memperbaiki sistem parkir serta menyediakan parkir yang secukupnya.

"Kadang-kadang ada orang yang mempunyai keperluan untuk bawa kereta. Tak semestinya mereka boleh naik pengangkutan awam.

"Saya ini pemandu dan sangat faham, ia menyukarkan. Saya rasa menaikkan caj tidak akan selesaikan masalah. Kawasan parkir kurang, lepas tu naikkan harga. Macam tak sesuai," katanya.

Seorang lagi pemandu, Syed Shah Hafiz Syed Umar, 39, berkata, tindakan menaikkan harga tidak relevan dan ia membebankan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, sekiranya pihak DBKL ingin menaikkan harga, pihak berkuasa tempatan itu perlu menyediakan ruang parkir bagi memastikan tiada parkir haram.

"Parkir kurang kemudian menaikkan harga, tak relevan. Nak naik harga boleh tapi parkir kena lebih juga. Biar seimbang. Tetapi kenaikan ini membebankan rakyat. Dah lah kos sara hidup semua tinggi, semua harga mahal," katanya.

'Setuju tetapi bersyarat'

Bagaimanapun, terdapat juga pengguna yang bersetuju dengan kenaikan caj parkir tersebut tetapi bersyarat.

Farizul Hafiz, 23, berkata, beliau bersetuju dengan kenaikan caj parkir yang dibuat DBKL tetapi pada masa sama meminta supaya sistem pengangkutan awam ditambah baik.

Beliau turut mencadangkan supaya disediakan pas parkir kenderaan bagi mereka yang perlu menggunakan kereta.

"Saya setuju tetapi pada masa sama kena betulkan juga pengangkutan awam. Ia juga cara untuk orang kurangkan bawa kereta dan galakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

"DBKL juga mungkin boleh buat pas tertentu bagi pihak yang perlu membawa kenderaan," katanya.

S Ravi, 47, pula menganggap kadar tersebut masih lagi murah memandangkan DBKL telah lama tidak menaikkan kadar caj letak kereta.

Ravi yang merupakan seorang pesara, turut mencadangkan supaya diadakan zon larangan kenderaan mengikut masa-masa tertentu bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

"Sebenarnya harga itu masih lagi dianggap murah. Sesuai dengan keadaan di Kuala Lumpur dan ia bukan dibuat di pekan kecil.

"Saya juga berpendapat DBKL boleh buat zon tanpa kenderaan. Mungkin pada masa tertentu tiada kenderaan dibenarkan masuk di kawasan tertentu," katanya.

Razali Hassan, 34, pula berpendapat kadar tersebut wajar dinaikkan terutamanya di kawasan yang berlaku kesesakan lalu lintas.

"Saya bersetuju ia dinaikkan terutamanya di tempat dan kawasan yang sesak. Ia patut. Dan macam di kawasan Taman Tun Dr Ismail ini pun saya rasa patut harga dinaikkan. Kalau nak naik harga perlu ikut kawasan," kata pengawal peribadi itu.

Bermula kelmarin, orang ramai yang meletakkan kenderaan di kawasan parkir DBKL akan menyaksikan caj parkir yang meningkat.

Caj tempat letak kenderaan setiap jam di pusat bandar komersial dinaikkan daripada 80 sen sejam kepada RM2 untuk jam yang pertama.

Kadar caj juga dinaikkan kepada RM3 untuk jam kedua dan RM3 untuk jam berikutnya. Jika meletak kenderaan dari jam 7.30 pagi hingga 6 petang, maka pengguna terpaksa membayar sebanyak RM32 sehari.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.