HRW: 'Cadangan pindaan LPA bercanggah dengan hak asasi manusia'
Cadangan pindaan ke atas Akta Profesion Undang-undang (LPA) yang kerajaan berhasrat melaksanakannya adalah bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia antarabangsa, kata Human Rights Watch (HRW).
Oleh itu, badan global itu menggesa kerajaan menarik balik cadangan berkenaan.
"Masyarakat perundangan global perlu menghantar mesej yang jelas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa usaha kerajaannya untuk melemahkan kebebasan Badan Peguam hanya akan merosakkan reputasi negara," kata Timbalan Pengarah HRW bagi rantau Asia, Phil Robertson dalam satu kenyataan hari ini.
Robertson berkata Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan pada 2015 bahawa profesyen perundangan yang bebas adalah antara prasyarat untuk melindungi hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.
Prinsip Asas PBB mengenai Peranan Peguam menyatakan bahawa peguam perlu berupaya untuk melaksanakan tugas mereka tanpa ugutan dan gangguan, dan oleh itu, mereka berhak untuk menyertai dan membentuk persatuan profesional yang ditadbir sendiri, katanya.
Robertson berkata prinsip itu juga menyatakan bahawa ini bermakna badan eksekutif persatuan itu perlu dipilih oleh ahli dan menjalankan fungsinya tanpa gangguan luar.
Cadangan pindaan oleh kerajaan itu bercanggah dengan prinsip tersebut, katanya.
Pindaan yang dicadangkan akan memberi kuasa kepada menteri persekutuan yang bertanggungjawab bagi undang-undang untuk melantik dua orang ahli dalam Majlis Peguam untuk mengeluarkan peraturan yang mentadbir pemilihan persatuan, badan peguam, kata Robertson.
Beliau juga berkata rang undang-undang itu akan meningkatkan kuorum yang diperlukan untuk mesyuarat agung dari 500 kepada 4,000 ahli, atau 25 peratus daripada 17,000 ahli Badan Peguam, menjadikannya hampir mustahil bagi badan itu untuk mengambil tindakan dalam mesyuarat agungnya
Badan Peguam lantang bersuara di Malaysia mengenai hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang sejak beberapa dekad, katanya, sambil menambah bahawa sejak setahun lalu, para peguam secara konsisten menyuarakan kebimbangan mengenai dakwaan penyalahgunaan undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman, serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

