Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Selasa depan untuk mendengar permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Pengerusi MyWatch Datuk R Sri Sanjeevan untuk mencabar penahanannya di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Aizatul Akmal Maharani semasa pengurusan kes hari ini.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Sanjeevan berkata timbalan pendakwa raya akan membuat bantahan awal pada hari itu dan ia akan didengar bersama dengan permohonan utama.

Beliau berkata Sanjeevan juga membuat laporan polis petang semalam di Balai Polis Seremban berhubung dakwaan dia dipukul semasa dalam tahanan di Kuala Lumpur.

Polis, Gobind berkata, perlu menyiasat dakwaan tersebut kerana Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh berjanji untuk menyiasatnya apabila laporan dibuat.

[Baca berita penuh]