Pilihan raya P Pinang: Wakil rakyat DAP mesyuarat di Komtar?
ADUN dan ahli-ahli parlimen DAP Pulau Pinang dikatakan diarah untuk menghadiri mesyuarat di Komtar hari ini mengenai kemungkinan pilihan raya di negeri itu.
Sumber mendakwa notis dihantar kepada wakil-wakil DAP sahaja tanpa penglibatan wakil rakyat PKR atau Parti Amanah Negara (AMANAH).
Beberapa ADUN PKR berkata mereka tidak menerima notis itu manakala wakil-wakil DAP membisu mengenai mesyuarat yang dikatakan.
Wakil DAP diberitahu untuk berada di tingkat 28 Komtar jam 12 tengah hari ini di mana mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri diadakan.
Spekulasi bertiup kencang bahawa pilihan raya mengejut di Pulau Pinang mungkin diadakan selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP didakwa membuat keputusan mengenai perkara itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sepatutnya memberi taklimat kepada PKR mengenai perkara itu di Kuala Lumpur malam tadi tetapi tidak menghadiri mesyuarat tersebut.
PKR menyatakan minat untuk mengadakan pilihan raya negeri Pulau Pinang tetapi tidak sama sekali menolak idea berkenaan dan telah memutuskan untuk membincangkan perkara tersebut.
Pilihan raya negeri itu adalah satu cara untuk mengukur sokongan rakyat terhadap DAP dan Lim yang dikenakan dua tuduhan rasuah berkaitan pembelian banglo berharga RM2.8 juta di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.
Lim menafikan semua tuduhan itu dan menyelar penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Lim juga mendakwa pendakwaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang adalah sebahagian daripada penganiayaan politik terhadap beliau dan DAP.

