Polis lihat keperluan siasat 'trak pelancar roket' jual kopi
Pihak polis akan melihat keperluan untuk menyiasat sebuah kenderaan mirip trak pelancar tentera yang digunakan bagi mempromosi jualan kopi di Jalan Semarak Api, Cyberjaya.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata siasatan akan dijalankan sekiranya kenderaan itu mengundang gangguan dan menakutkan orang awam yang duduk berhampiran dengan premis berkenaan.
“Kalau ada asas buat siasatan kita akan buat. (Untuk pastikan) Aktiviti yang dianjurkan ini tidak mengganggu dan menakutkan orang yang berada di sekitar premis tersebut,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai sebuah laporan media polis telah merampas sebuah kenderaan mirip trak pelancar tentera semalam.
Menurut laporan itu, dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, polis dari Balai Cyberjaya menjalankan tugas rondaan dan menerima maklumat orang awam mengatakan ada kenderaan trak pelancar roket berkeliaran di kawasan di sini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, pengadu bersama anggota polis kemudian membuat rondaan dan pemerhatian serta menemui kenderaan itu dengan dua pelancar roket di atasnya.
"Pengadu dan anggota menghampiri kenderaan berkenaan serta mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan dan susulan itu, dua lelaki masing-masing berusia 28 dan 24 tahun ditahan serta dibawa ke Balai Cyberjaya untuk tindakan lanjut.
"Berikutan itu, polis merampas kenderaan berkenaan dan kedua-dua lelaki terbabit diikat jamin semalam," Abdul Aziz dilaporkan sebagai berkata.
Abdul Aziz berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana mengubah suai kenderaan.

