Azmin beri amaran kesan negatif pada industri harta tanah
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berharap Bank Negara dapat menyemak semula dasar pinjaman perumahan yang ketat.
Timbalan presiden PKR itu berkata kerajaan negeri menerima banyak aduan pembeli rumah Selangorku, kelolaan syarikat milik negeri, yang gagal mendapat pinjaman bank.
“Kita sedia maklum tentang statistik hutang isu rumah yang terlalu kritikal pada hari ini yang menuntut Bank Negara menetapkan satu dasar baru bagi mengetatkan pinjaman.
“Tetapi seperti yang dicadangkan kjaan negeri, kita berharap Bank Negara dapat menyemak semula
kerana retail consumption (perbelanjaan runcit) tak boleh disamakan dengan pinjaman perumahan,” katanya.
Contohnya, bagi pembeli rumah pertama, Azmin berkata, keutamaan harus diberikan untuk mendapatkan pinjaman rumah mampu milik.
“Kalau tidak, industri harta tanah akan terkesan sekiranya mereka tidak dapat pinjaman daripada bank-bank bagi tujuan membina rumah-rumah yang Akan dibina,” katanya.
Pada masa ini paras hutang isi rumah negara adalah 89.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kadar ini menjadi antara yang tertinggi di Asia.
Gabenor bank pusat Datuk Muhammad Ibrahim berkata hutang isi rumah antara bidang yang sentiasa dipantau mereka.

