Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ANALISIS Spekulasi pilihan raya umum akan berlangsung tidak lama lagi muncul semula.

Ia kembali bertiup selepas DAP menangguhkan pemilihan parti untuk menumpukan kepada usaha berdepan BN dalam pilihan raya umum.

Daripada aspek politik, keadaan memihak kepada BN selepas kemenangan besar dalam pilihan raya Sarawak, selain meningkatkan majoriti dalam dua pilihan raya kecil sebelum ini.

Pengumuman pilihan raya awal juga dilihat strategik sebelum parti baru dan “pembangkang besar” yang diusahakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, beberapa pengalisis melihat sebaliknya.

Pengarah Institut Asia, Universiti Tasmania James Chin berkata perdana menteri dan presiden Umno Datuk Seri Najib Razak perlu mempersiap diri sebelum melangkah ke medan perang.

Dengan keadaan ekonomi yang buruk, Najib mungkin tidak akan dapat sokongan taikun perniagaan jika pilihan raya diadakan sekarang.

“Kamu tidak akan masuk pilihan raya melainkan kamu ada wang tunia berbilion ringgit,” katanya.

Tambahan lagi, katanya, Najib memikul beban kalah undi popular dalam pilihan raya umum ke-13 sebelum ini.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN mendapat 133 kerusi atau 60 peratus penguasaan dalam parlimen, tetapi hanya memperoleh 47 peratus undi popular.

Dalam pilihan raya depan, Chin meramalkan BN tidak akan berjaya mendapat balik undi di kerusi majoriti Cina dan penguasaan dua pertiga Dewan Rakyat yang gagal dipertahankan pada 2008.

Chin juga percaya Najib berusaha mendapatkan beberapa kawasan Melayu melalui dasar-dasar ekonominya.

“Susulan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan faktor-faktor lain, undi bandar telah hilang,” kata Chin.

Belanjawan 'gula-gula'

Sementara itu, setiausaha organisasi DAP Anthony Loke mendedahkan parti itu meramalkan pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh enam bulan pertama tahun depan.

Jika bacaan ini tepat, Najib terpaksa mengumumkan “gula-gula politik” dalam belanjawan fiskal 2017 pada Oktober depan, seperti menaikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Kawalan terhadap media juga dilihat mungkin diperketat melalui beberapa “rancangan” di parlimen, termasuk mengawal media atas talian dan Badan Peguam melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Profesion Undang-undang 1976.

Sidang seterusnya parlimen akan berlangsung pada17 Ogos hingga 24 November depan.

Sementara di pihak pembangkang, idea “pembangkang” besar, yang dilihat dalam bentuk jauh berbeza daripada gabungan pembangkang sebelum ini, masih menjadi teka-teki.

Najib yang berhati-hati

Ia mungkin dilihat masih kucar-kacir di mata BN. Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian ada pandangan berbeza.

“Sebahagiannya betul, kerana ada juga faktor-faktor lain... Pertama sekali, Najib perlu pastikan ekonomi lancar, dan orang ramai akan berada di sampingnya.

“Kedua, parti-parti BN sudah bersedia untuk pilihan raya. Sekarang, jika kamu lihat kalendar, tidak banyak lagi masa untuk bersedia berdepan pilihan raya mengejut.

“Menilai pilihan raya lepas, Najib seorang yang berhati-hati, dia mungkin akan pertimbang segala faktor,” kata peneraju badan tinjauan awam terkenal itu.

Rundingan kerusi

Berkaitan idea “pembangkang besar” Tun Dr Mahathir Mohamad, beberapa isu masih perlu diselesaikan, terutamanya rundingan kerusi bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

“Saya rasa parti baru akan masuk gelanggang politik yang amat padat kerana kebanyakan kerusi sudah dituntut parti-parti sedia ada.

“Siapa hendak beri mereka kerusi?” tanya Ibrahim.

Gabungan itu juga masih menyimpan misteri berkaitan soalan mudah “siapa akan jadi ketua pembangkang?”.

Kali terakhir Najib mengumumkan pembubaran parlimen pada tahun keempat pentadbirannya sebagai perdana menteri.

Pada Jun lalu, beliau menutup rapat mulut ketika berdpan soalan sama ada beliau akan mengekalkan barisan kabinetnya sehingga pilihan raya umum.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS