Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak perlu tergesa-gesa menaikkan caj parkir sebanyak 150 peratus di sekitar ibu negara.

Khalid berkata beliau mendapat maklumat ada pegawai DBKL yang bertanggungjawab dalam menentukan polisi pihak berkuasa tempatan itu tidak dimaklumkan tentang kenaikan tarif parkir baru.

Justeru itu, anggota parlimen Bandar Tun Razak tersebut meminta supaya caj tidak dinaikkan dan ia perlu dihentikan sehingga satu kajian dilakukan.

"Saya berpandangan ia perlu dihentikan sehingga satu kajian impak yang komprehensif dilakukan tentang kesan kenaikan caj parkir kepada pengguna dari segi sosial, kewangan dan sama ada ia benar-benar akan menyelesaikan masalah kerosakan trafik," katanya dalam kenyataan yang ditulis di Facebooknya.

Katanya, ramai pengguna tidak yakin dengan penjelasan oleh DBKL yang mengatakan kenaikan tarif itu bagi menggalakkan pengguna menaiki pengangkutan awam.

Khalid berkata lagi, hasil pertemuannya bersama penduduk Bandar Tun Razak, rata-rata menyatakan mereka amat terkesan dengan pelaksanaan tarif baru apabila kos sara hidup naik mendadak sebanyak 25 peratus.

Sehubungan itu, beliau berharap agar DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan serta Datuk Bandar Kuala Lumpur mengadakan pertemuan semula dengan semua anggota parlimen Wilayah Persekutuan dan membentangkan hasil kajian impak yang dilakukan bagi mencari pendekatan terbaik menyelesaikan pengurusan parkir serta menentukan tarif yang sesuai tanpa membebankan rakyat.

Bermula kelmarin, orang ramai yang meletakkan kenderaan di kawasan parkir DBKL akan dikenakan caj parkir yang dinaikkan sehingga 150 peratus.

Caj tempat letak kenderaan setiap jam di pusat bandar komersial dinaikkan daripada 80 sen sejam kepada RM2 untuk jam yang pertama.

Kadar caj juga dinaikkan kepada RM3 untuk jam kedua dan jam berikutnya. Jika meletak kenderaan dari jam 7.30 pagi hingga 6 petang, maka pengguna terpaksa membayar sebanyak RM32 sehari.