Sebuah kuil di Petaling Jaya dirosakkan hari ini, ketika beberapa laporan vandalisme terhadap kuil-kuil Hindu dilaporkan di beberapa negeri

Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu pagi ini, kata Adun Bukit Gasing, Rajiv Risyakaran.

"Pagi ini pengacau memecahkan patung di kuil Sri Muniswar di PJ Old Town. Saya mengecam tindakan benar-benar menjijikkan ini.

"Satu laporan polis telah dibuat (dan) saya menyeru pihak polis untuk memberikan usaha yang terbaik untuk menangkap pesalah-pesalah ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan polis, pemilik kuil Sri Veera Muniswar Alayam, Ganesan Doraisamy berkata beliau menerima panggilan daripada kakaknya kira-kira 10.40 pagi, memaklumkan bahawa kepala patung ular (Nagama) telah patah.

"Tidak ada CCTV di dalam kuil. Saya pergi ke kuil itu kira-kira pukul 11 ​​pagi dan mendapati kepala patung ular telah 'dipotong'.

"Tidak ada benda lain yang hilang dari kuil itu dan saya datang ke balai polis untuk tindakan lanjut," kata Ganesan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 11 Julai telah mengumumkan bahawa satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat beberapa kes vandalisme yang melibatkan kuil-kuil Hindu di Pulau Pinang.

Ini adalah kejadian terbaru selepas empat kes dicatatkan di Pulau Pinang sejak dua bulan lepas.

Pada 14 Julai, The Star melaporkan dua lagi kuil ̶ satu di Mahang, Kedah dan satu lagi di Selama, Perak ̶turut dirosakkan.