Tak lama lagi, kata Dr M mengenai parti baru
Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa parti politik baru akan dilancarkan tidak lama lagi.
"Tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Seputeh, hari ini.
Beliau hanya mengangguk ketika ditanya sama ada parti itu akan dilancarkan dalam satu atau dua minggu lagi.
Mahathir pada minggu lalu, mengesahkan parti baru akan ditubuhkan dan kumpulan atau gabungan baru juga akan diwujudkan bagi merealisasikan objektif pergerakan 'Selamatkan Malaysia'.
Ditanya perkembangan lanjut mengenai parti baru itu, Mahathir berkata, beliau tidak sepatutnya bercakap mengenainya kerana perjanjian lengkap belum dicapai bersama kalangan penaja.
"Selepas saya telah bertemu dengan pihak tertentu, barulah saya bebas bercakap, tetapi hakikatnya adalah kita memutuskan untuk membentuk satu parti," ujarnya lagi.
Mahathir menambah, butiran berhubung barisan kepimpinan parti itu akan diumumkan sebaik sahaja parti itu secara ditubuhkan secara rasmi.
Sementara itu, Mahathir menolak pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap parti baru itu.
"Mereka boleh katakan apa yang mereka suka, mereka boleh katakan saya nyanyuk dan semua itu, itu semua betul.
"Itu perkara biasa bagi orang-orang yang bimbang, perlu memburuk-burukkan lawan mereka. Jadi ia adalah okay, tambah beliau.
Sementara, dalam perkembangan berkaitan, Mahathir turut menyatakan penghargaannya kepada Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim atas galakan kepada parti politik baru itu.
"Saya hargainya. Galakan beliau adalah sesuatu yang kita hargai," ujar Mahathir sebagai mengulas kenyataan Anwar yang menyifatkan penubuhan parti baru itu sebagai langkah positif.
Beliau, bagaimanapun berkata, soal pembebasan Anwar - yang kini dipenjarakan atas tuduhan liwat - adalah perkara kedua berbanding usaha menjatuhkan kerajaan semasa.
"Tanpa itu, kita boleh bercakap tentang bebaskan Anwar atau apa sahaja, (tetapi) ia tidak akan berlaku," jelas beliau lagi.

