rencana Keperluan melakukan perubahan, yang sering disebut reformasi, sebenarnya telah diakui berbagai-bagai pihak. Sekumpulan ahli Umno sendiri mewujudkan perbincangan dalam Internet, dikenali 'reform-Umno,' bagi membahaskan perubahan yang diperlukan parti itu.

Malah, terdapat satu laman web ( www. shahrir-umno.com ) yang dikaitkan dengan anggota Majlis Tertinggi Shahrir Abdul Samad. Laman ini membincangkan isu-isu semasa yang lazimnya tidak pernah disuarakan secara terbuka oleh pemimpin-pemimpin parti itu.

Di kalangan rakyat, desakan untuk reformasi mengambil manifestasi politik dalam bentuk Barisan Alternatif. Pada ketika yang sama golongan reformasi juga merangkumi wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang menganggap diri mereka 'kumpulan reformis tanpa parti.'

Kepelbagaian ini tidak mencetuskan kata sepakat mengenai bentuk perubahan yang diinginkan. Ada yang menganggap reformasi itu apa jua yang diperjuangkan oleh para reformis. Sebagai gagasan umum, reformasi pada hemat mereka cukup luas untuk membolehkan pelbagai pihak yang mempunyai agenda perubahan menyertai gelombang itu.

Tetapi gagasan yang luas dan umum ini menimbulkan masalah berkaitan agenda kumpulan reformis. Adakah agendanya sekadar membebaskan Anwar Ibrahim? Adakah ia bertumpu kepada langkah-langkah menamatkan pemerintahan Mahathir? Adakah ia bertujuan menghapuskan kronisme dan nepotisme? Kekaburan ini mungkin akan menimbulkan masalah di saat-saat genting nanti. Kenapa dan bagaimana?

Di kalangan diplomat Barat dan pemerhati politik antarabangsa, terdapat satu aliran pemikiran yang melihat bahawa masa depan Malaysia akan bergantung kepada dua pilihan. Pilihan pertama, Malaysia kekal di bawah kepimpinan Umno tetapi parti itu telah berubah atau 'Umno yang telah direformasikan'. Kedua, Malaysia yang dipimpin oleh PAS tetapi parti Islam yang berubah. Pemerhati sepakat Umno dalam bentuk dan rupanya sekarang tidak akan kekal (hal ini memang sudah diketahui rakyat Malaysia!).

Belum teruji keupayaan

Oleh sebab itu, terdapat golongan tertentu dalam Umno yang berusaha menjuarai idea 'reformasikan Umno'. Idea ini mula dipelopori oleh cendekiawan dan ahli akademik yang rapat dengan seorang pemimpin Umno yang berharap menjadi Perdana Menteri satu hari kelak. Mereka inilah yang mengemukakan idea pertemuan perpaduan Melayu - pada mulanya melibatkan PAS, Keadilan dan Umno.

Mereka mengakui Umno kini dalam keadaan tenat dan perlu diubah. Namun selagi Dr Mahathir Mohamad masih kekal menjadi Perdana Menteri, perubahan ini sukar dilakukan. Oleh itu, mereka menjanjikan pemimpin mereka itu sebagai harapan terbaik untuk membawa perubahan dalam Umno dan memulihkan suasana politik negara.

Dilihat secara kasar, idea ini agak menarik dan meyakinkan sesetengah pihak. Apatah lagi dalam amalan politik Malaysia - pertukaran parti pemerintah belum pernah berlaku. Penyelesaian melalui 'Umno yang telah direformasikan' kurang risiko berbanding peralihan pemerintahan pusat kepada Barisan Alternatif yang dianggap sebagai 'belum diuji' dan 'belum terbukti' keupayaannya.

Idea ini lebih menarik bagi mereka yang ingin melihat perubahan tetapi tidak bersedia mengambil risiko ketidaktentuan. Masalahnya, idea 'Umno yang telah direformasikan' sebenarnya tidak bertujuan melakukan reformasi.

Malah idea ini kabur. Tidak jelas apakah yang ingin direformasikan dalam Umno dan sama ada parti itu masih boleh direformasikan. Demikian juga, tidak jelas apakah perubahan yang ingin dibawa oleh golongan ini terhadap sistem politik negara.

Bersediakah kelompok 'reformasikan Umno' ini merungkai cengkaman satu himpunan undang-undang yang menindas rakyat? Sejauh mana golongan reformasi dalam Umno mampu membanteras penyakit sosial yang merebak dalam Umno? Dan bersediakah kelompok ini mewujudkan amalan demokrasi yang mantap?

Untuk meneliti persoalan ini, kita perlu bayangkan apa agaknya mungkin berlaku jika Mahathir digantikan oleh pemimpin lain, katakan Abdullah Ahmad Badawi. Sebagai pengganti Mahathir, Abdullah juga akan cuba mengukuhkan kuasanya. Kekuatan Mahathir banyak bergantung kepada cengkamannya ke atas pelbagai institusi.

Abdullah juga akan turut mengambil tindakan yang sama untuk mengukuhkan kedudukannya. Persoalan yang akan timbul: adakah ahli-ahli Umno akan cuba menghalang langkah begini yang akan menghalang pemerintahan secara diktator ala Mahathir daripada berulang?

Jaga periuk nasi

Seorang diplomat membuat pemerhatian yang tepat apabila beliau berkata Umno bukanlah sebuah parti berteraskan prinsip atau ideologi. Sebaliknya Umno adalah sebuah parti yang berteraskan materialisme. Ahli-ahli serta pemimpin Umno akan didorong oleh keinginan menjaga kedudukan sumber ekonomi mereka.

Bagi menjaga kepentingan ini, menunduk kepada kehendak Abdullah adalah jalan yang lebih selamat. Mereka akan patuh dan setia pada Abdullah bukan kerana yakin dengan agenda serta perjuangannya tetapi kerana ingin menjaga periuk nasi masing-masing. Selagi Abdullah dilihat sebagai pelindung sumber rezeki orang-orang Umno, selagi itu mereka akan setia kepadanya.

Inilah minda yang mencorakkan skrip kelakuan ahli-ahli Umno. Perilaku ini telah membudaya dalam Umno dan sukar hendak membayangkan ia dapat diubah. Budaya ini memberikan manfaat kepada sesiapa yang memegang teraju kepimpinan Umno.

Shahrir mungkin berani bersuara tetapi beliau tidak mempunyai pengaruh. Dalam Umno pengaruh ditentukan oleh wang dan bukan idea atau keberanian bersuara (seperti Shahrir).

Satu lagi isu yang sudah tentu perlu dihadapi Abdullah ialah gerakan reformasi. Beliau perlu meredakan gelombang ini dan juga memastikan pengaruh Anwar tidak terus menjadi ancaman kepada kedudukannya.

Untuk mencapai kedua-dua hasrat ini, kemungkinan besar Abdullah akan membebaskan Anwar dan menerimanya semula sebagai ahli Umno. Namun, pembebasan ini bukan bertujuan memulihkan kedudukan Anwar sebagai pemimpin Umno.

Sebaliknya, Abdullah akan memastikan Anwar membina semula kedudukannya dalam Umno melalui proses biasa parti (daripada tangga bawah). Tindakan ini akan menghasilkan beberapa natijah. Sekiranya Anwar kembali kepada Umno, Barisan Alternatif akan berpecah. Parti Keadilan Nasional mungkin mengikut jejak langkah Semangat 46.

Sebahagian besar ahli Keadilan akan meninggalkan parti sama ada untuk menyertai PAS atau meninggalkan kegiatan politik selama-lamanya. Akhirnya Keadilan akan hancur dan menjadi tidak relevan. Cara ini akan menyelesaikan satu daripada dua masalah yang mencabar kedudukan Umno.

[Bahagian 2 di bawah]


ABU MUNZIR adalah seorang ahli akademik di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan