Lapan lelaki termasuk seorang bergelar 'Datuk' didakwa di Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang antara Januari dan Ogos tahun lepas.

Mereka ialah Datuk K Elumalai, 42; K Puvendran, 28; M Kishok Kumar, 25; R Ganabathy, 30; R Shamuga Nathan, 37; S Jeeva, 26; S Rajandran, 39; dan M Suresh, 39.

Tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjadi anggota kumpulan jenayah terancang iaitu 'Geng 21 Japan' di kawasan wilayah Iskandar, di Johor Bahru antara 18 Januari 2015 dan 19 Ogos 2015.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130v Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan terhadap Elumalai dan tujuh pengikutnya itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Saiful Edris Zainuddin dan ia merupakan kes pertuduhan pertama bersabit jenayah terancang di negara ini mengikut Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Hanya empat tertuduh diwakili peguam iaitu Elumalai dan Puvendran yang diwakili peguam Nor Shahid Abd Malik dan Baharuddin Bahrim manakala Datin Freda Sabapathy mewakili Shamuga Nathan dan Ganabathy.

Majistret Nor Azlan Shah Mohd Allias kemudian menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi mendapat izin kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, di sini.

- Bernama