PKR tidak harus mengamalkan dwistandard dan perlu meminta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bercuti memandangkan dua tuduhan rasuah terhadapnya, kata Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang.

Beliau mengulas Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil cuti berikutan saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bagi memulakan rampasan aset bernilai RM4 bilion yang didakwa disalahgunakan daripada 1MDB.

Tan berkata, Pemuda Gerakan bersetuju dengan prinsip bahawa seseorang yang memegang kedudukan rasmi kerajaan perlu mengambil cuti jika dituduh di mahkamah kerana rasuah.

"Bagaimanapun, dalam kes oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat itu, perdana menteri kita tidak didakwa atau dinamakan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat. Oleh itu, permintaan Presiden PKR terlalu awal dan tidak terpakai," katanya dalam satu kenyataan media .

Sebaliknya, Tan berkata Lim telah didakwa di mahkamah tetapi terus kekal sebagai ketua menteri.

"Berdasarkan prinsip-prinsip yang dinyatakan oleh Presiden PKR, kami percaya Lim mesti mengambil cuti sementara menunggu keputusan perbicaraan.

"Ini adalah keadaan yang jelas di mana seseorang yang memegang jawatan pegawai tertinggi negeri didakwa di mahkamah atas dakwaan rasuah.

"Mengapa mesti ada pengecualian untuk Lim?" soalnya.

Tan berkata terdapat juga banyak gesaan oleh orang awam termasuk NGO supaya Lim bercuti.

[Baca berita penuh]