Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'jaya Integriti terima aduan terbanyak babitkan PDRM
Diterbitkan:  Jul 22, 2016 6:47 AM
Dikemaskini: Jul 22, 2016 6:41 AM

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerima sebanyak 1,551 aduan salah laku sejak penubuhannya pada April 2011 sehingga kelmarin dengan sebahagian besarnya membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam berkata 28 aduan telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 52 dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib, 40 dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib PDRM dan SPRM manakala 350 aduan dilakukan siasatan penuh.

Baki 859 aduan yang diterima sejak April 2011 sehingga kelmarin itu telah ditolak, katanya dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan Kaunter Aduan dan Perkhidmatan Pelanggan EAIC di Putrajaya semalam.

Beliau berkata bilangan anggota dan pegawai yang ramai serta peruntukan penguatkuasaan undang-undang yang besar merupakan antara faktor PDRM mendahului agensi penguatkuasaan lain dari aspek penerimaan aduan daripada orang ramai.

"PDRM merupakan agensi penguatkuasaan yang utama dalam berhadapan serta berurusan dengan rakyat dan keadaan itu mungkin menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan orang ramai yang mendorong mereka membuat aduan," katanya.

Mengenai peratusan aduan yang diselesaikan, Yaacob berkata semua aduan yang dikemukakan pada 2011 hingga 2014 berjaya diselesaikan sepenuhnya, manakala 93 peratus aduan diselesaikan pada tahun lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata pembukaan Kaunter Aduan dan Perkhidmatan Pelanggan suruhanjaya itu di tingkat bawah, bangunan Menara Usahawan di Putrajaya adalah bagi memudahkan orang awam membuat aduan secara bersemuka seterusnya memastikan perkhidmatan menjadi lebih tepat dan cepat.

Yaacob berkata fungsi utama kaunter itu adalah untuk menerima aduan, pertanyaan umum, khidmat nasihat dan maklum balas daripada pelanggan selain berfungsi mengurus dan serta memantau urusan pelanggan dan membuat kajian pengukuran tahap kepuasan pelanggan.

Ditanya sama ada pihaknya mempunyai cadangan untuk membuka kaunter seumpama itu di tempat lain, beliau berkata buat masa ini ia tidak dapat dilakukan atas kekangan tertentu yang dihadapi EAIC.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS