Archbishop: Bagaimana menyelesaikan masalah bukan Islam tanpa IFC?
Terjemahan Seorang Ketua Gereja Roman Katholik berkata pada masa ini tidak ada sebuah pun institusi untuk menanggani masalah dan rasa tidak puas hati di kalangan orang bukan Islam berhubung perkara-perkara yang membabitkan antara agama.
Terjemahan Seorang Ketua Gereja Roman Katholik berkata pada masa ini tidak ada sebuah pun institusi untuk menanggani masalah dan rasa tidak puas hati di kalangan orang bukan Islam berhubung perkara-perkara yang membabitkan antara agama.
Oleh itu, katanya, orang bukan Islam akan mempunyai ruang yang terhad untuk tujuan tersebut sekiranya cadangan penubuhan suruhanjaya antara agama (IFC) ditolak.
Archbishop Murphy Pakiam berkata, pada masa ini, tidak ada sebarang institusi untuk bukan Islam mencari penyelesaian terhadap perkara tersebut kerana mahkamah sivil dan mahkamah Syariah sering "tolak-menolak" kes-kes seumpama itu antara satu sama lain bagi mengelak membuat keputusan yang kontroversi mengenai isu-isu berhubung antara agama.
"Kita akan dirujuk dari satu mahkamah (sivil) kepada mahkamah yang lain, sehinggalah, akhirnya, ianya sampai ke mahkamah Syariah dan semuanya (proses) itu akan berulang sekali lagi. Jadi di manakah tempat untuk orang bukan Islam mencari penyelesaian, jika tidak kepada IFC?" katanya ketika ditemui di persidangan antarabangsa mengenai Pendamaian Palestin, di Putrajaya yang berakhir semalam.
Mengenai bantahan daripada badan-badan Islam terhadap cadangan penubuhan IFC dengan alasannya ianya akan mencampuri ajaran agama Islam, Pakiam mempersoalkan sama ada pandangan mereka mewakili pandangan masyarakat Islam keseluruhannya.
"Terdapat pelbagai pemikiran dalam Islam, sedangkan badan-badan tersebut mungkin hanya mewakili satu haluan pemikiran sahaja di dalam Islam," katanya.
Tidak boleh dicabar
Bagaimanapun, mantan Presiden Jawatankuasa Bersekutu Penyelarasan NGO Islam, Mustapha Ma sekali lagi menegaskan bahawa Islam menggalakkan diadakan dialog antara agama, tetapi membantah keras sebarang campurtangan oleh mana-mana pihak dalam ajaran dan amalan agama tersebut.
"Kami menyokong penuh dialog antara agama. Tetapi ada perkara-perkara yang membabitkan hal di dalam agama itu sendiri. Malah, ia merupakan perkara-perkara di mana umat Islam sendiripun tidak boleh mempersoalkannya, apa lagi untuk mencabarnya (undang-undang Islam)," katanya.
Mustapha juga membantah dan mempersoalkan apakah relevennya standard perundangan antarabangsa dan konvensyen yang dirujuk di dalam rang undang-undang penubuhan IFC seperti Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia, dengan hak orang Islam di dalam negara ini untuk mentadbirkan urusan mereka mengikut undang-undang agama Islam.
"Dalam rang undang-undang yang dicadangkan itu, agama mesti mengikut standard yang ditetapkan oleh norma-norma antarabangsa, seperti yang terdapat dalam deklarasi dan konvensyen yang tidak disahkan oleh Malaysia," katanya.
"(Menurut rang undang-undang tersebut) apa juga amalan yang melanggar norma-norma antarabangsa, termasuk amalan dalam agama Islam, mesti dihapuskan," tambahnya.
Katanya, ini bertentangan dengan ajaran Islam yang menegaskan bahawa undang-undan manusia tertakluk kepada undang-undang tuhan dan bukan sebaliknya.
Sensitiviti umat Islam
Salinan rang undang-undan tersebut, kenyataan pleno dan lampiran-lampiran berkaitan telahpun dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, Peguam Negara, Tan Seri Abdul Ghani Patail, Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Maximus Ongkili (perpaduan nasional) dan Datuk Dr Abdullah Md Zin (hal-ehwal Islam).
Kenyataan pleno itu disediakan selepas berlangsungnya persidangan dua hari, membincangkan rang undang-undang tersebut, yang dihadiri lebih 200 peserta, lewat bulan lepas. Bagaimanapun, badan-badan Islam memulaukan persidangan tersebut.
Cadangan penubuhan IFC itu diselaraskan oleh jawatankuasa kecil hak asasi manusia Majlis Peguam yang telah mengadakan satu bengkel mengenainya pada tahun 2003.
Perdana Menteri sudah dua kali membayangkan bahawa cadangan penubuhan suruhanjaya itu mungkint idak boleh dilaksanakan kerana ia boleh menyentuh sensitiviti umat Islam.
Katanya, jika dilaksanakan ia boleh menjadi halangan kepada keharmonian dan perpaduan agama.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.