Seorang remaja berusia 16 tahun hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Juvana di Petaling Jaya terhadap tuduhan mengugut untuk membunuh seorang pengetua sekolah.

Remaja itu dari Taman Sungai Besi Indah, Serdang, didakwa mengugut Nor Riha Zakaria, 45, dengan kata-kata "siap awak nanti petang, mati awak" dengan niat hendak mendatangkan kegentaran kepada Nor Riha.

Menurut laporan Bernama , Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Sekolah Menengah Seri Serdang, Seri Kembangan, Petaling kira-kira 3.20 petang pada 23 Februari lalu.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Majistret Azroul Hisham Azulan menetapkan 12 Ogos untuk jatuh hukum.

Turut didakwa ceroboh sekolah

Remaja itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas satu lagi tuduhan iaitu menceroboh sekolah tersebut pada waktu yang sama. Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Azroul Hisham membenarkan remaja itu diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Ogos untuk sebutan kes.

Pegawai Pendakwa Inspektor Rahimin Zainol memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa remaja itu pernah memasuki pusat pemulihan akhlak di Sungai Besi kerana memiliki pisau Rambo tetapi melarikan diri selepas sebulan berada di situ.

Katanya remaja itu ditangkap (bagi kes ini) ketika melakukan cubaan pecah masuk di sebuah rumah di Seri Kembangan.

Dia tidak diwakili peguam dan tiada anggota keluarganya yang hadir di mahkamah.