Baja organik yang diimport dari China, Jepun dan Thailand telah disahkan tidak mengandungi najis babi ataupun najis manusia dan para petani tidak perlu ragu-ragu menggunakannya, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mohamed Shariff Omar.

Bernama melaporkan beliau berkata, ini kerana kandungan setiap baja organik yang dibawa masuk ke negara ini dianalisa oleh makmal Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar dan juga Jabatan Perikanan.

Syarikat yang hendak membawa masuk baja itu ke negara ini perlu mendapatkan kebenaran Jawatankuasa Teknikal Pengimportan Mikro Organisme dan Bahan Organan yang dianggotai Ketua Pengarah Jabatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian.

"Syarikat terbabit perlu mengemukakan sampel baja berkenaan untuk dianalisa kandungannya sebelum kelulusan diberikan," katanya kepada pemberita di Butterworth hari ini.

Menurutnya, 72 syarikat diberi lesen untuk mengimport baja organik di antara 1999 dan 2005 dan mereka tertakluk kepada Akta Kuarantin Tumbuhan 1976, Peraturan Kuarantin 1961.

Katanya, baja organik biasanya mengandungi bahan mikro organisme seperti najis ayam dan kambing biri-biri serta bahan buangan tanaman.

Bahan buangan tumbuhan

Bagaimanapun, jelaskan, berikutan negara-negara terbabit mempunyai penyakit SARS dan Selesema Burung, maka hanya baja yang berasaskan bahan buangan tumbuhan sahaja yang dibenarkan.

"Sebarang campuran baja organik dengan najis khinzir atau najis manusia adalah tidak dibenarkan sama sekali dan kementerian amat mementingkan perkara ini," katanya.

Sejak 2003, sebanyak 2,285 tan metrik baja organik diimport dari China, Thailand (570 tan metrik) dan Jepun (24,330 tan metrik).

Dua hari lalu, Dewan Rakyat dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail mengenai baja organik yang dipercayai dicampur dengan najis babi yang digunakan oleh petani di utara Semenanjung.

Beliau dipetik sebagai berkata perkara itu diketahuinya setelah dimaklumkan oleh seorang pegawai pertanian berbangsa Cina yang terbaca keterangan mengenai kandungan baja itu pada bungkusannya, yang ditulis dalam bahasa Cina.

Syed Razlan menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya mengambil tindakan segera menganalisa kandungan baja itu sebelum dipasarkan agar pengguna Islam tidak menggunakan produk yang tidak halal.