Pemuda PAS bantah konsert gelek Inul Daratista
Pemuda PAS Pusat akan menggerakkan badan Islam bukan kerajaan (NGO) bagi menentang langkah kerajaan yang membenarkan persembahan konsert penyanyi dangdut seksi Inul Daratista di negara ini pada 1 Mei ini.
Pemuda PAS Pusat akan menggerakkan badan Islam bukan kerajaan (NGO) bagi menentang langkah kerajaan yang membenarkan persembahan konsert penyanyi dangdut seksi Inul Daratista di negara ini pada 1 Mei ini.
Ketua Penerangannya, Mazlan Aliman berkata, pihaknya telah mengenalpasti beberapa langkah yang akan diambil untuk menghalang konsert tersebut diadakan di sini.
"Pemuda PAS akan menghantar surat bantahan kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim dalam masa terdekat ini. Kami juga merancang menghantar surat bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meminta beliau membatalkan keputusan membenarkan konsert itu diadakan," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, jika kedua-dua surat bantahan itu tidak diendahkan, Pemuda PAS bersama NGO Islam akan mengadakan demontrasi bagi membantah konsert tersebut.
Katanya, beliau difahamkan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah meluluskan permit kepada Inul untuk mengadakan konsertnya di negara ini pada Hari Pekerja nanti.
Konsert yang mahu diadakan oleh Inul itu dirancang untuk pekerja Indonesia di negara ini tetapi kesannya akan berlaku juga kepada golongan muda Islam khususnya.
Budaya dan agama
Menurut Mazlan lagi, Inul pernah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Malaysia untuk mengadakan persembahan di negara ini dua tahun lalu tetapi ditolak oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mazlan berkata, tidak ada faedahnya konsert tersebut diadakan melainkan untuk melihat gelek punggung Inul semata-mata.
"Inul menimbulkan kontroversi di Indonesia dan ramai rakyat negara mereka yang menentang konsert Inul tersebut," katanya.
Beliau berkata, konsert Inul tersebut tidak sesuai diadakan di negara ini kerana ia bertentangan dengan budaya dan agama Islam.

