Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Azmin pertahan serangan Twitter ke atas Saari
Diterbitkan:  Jul 25, 2016 4:35 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankan tindakannya menyerang Timbalan Pengerusi, Parti Amanah Negara, Saari Sungib melalui akaun Twitternya.

Azmin memberitahu pemberita bahawa beliau bertanggungjawab untuk mempertahankan proses demokrasi dan mandat yang diberikan pada pilihan raya umum ke-13.

"Ini bukan mengenai pilihan saya atau pilihannya (Saari). Ia adalah pilihan yang dibuat oleh rakyat. Maka kita (kerajaan negeri) perlu terus bangunkan Selangor.

“Saya harap tak ada pihak cuba buat kenyataan renggangkan muafakat yang ada. Pada ketika itu (PRU-13) tak ada AMANAH, ada PAS.

“Kita pun (di Selangor) dah wujudkan Pakatan Harapan. Masih lagi kerjasama dengan PAS,” kata Azmin ketika ditemui selepas forum di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam hari ini.

Timbalan presiden PKR itu berkata, PKR, DAP dan PAS kemudian membentuk kerajaan negeri Selangor, kerjasama yang masih bertahan walaupun selepas perpecahan pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat.

Azmin juga berkata, rakyat harus bersyukur bahawa istana Selangor tidak pernah campur tangandalam politik negeri ini.

“Kita harus pertahankan demokrasi. Kedua pertahan mandat rakyat dan beri perkhidmatan.

“Kita juga harus pertahankan institusi raja termasuk di Selangor. Kita harus bersyukur institutsi raja di Selangor tidak mencampuri pentadbiran dan urusan politik.

“Jadi jangan buat kenyataan (yang) boleh timbulkan persepsi tak baik. Saya mau semua pihak hormati sentimen ini,” katanya.

Menurut Azmin jika berdasarkan sentimen hari ini, rakyat menuntut supaya semua parti politik kembali ke meja rundingan dan membincangkan kepentingan negara.

“Itu sentimen hari ini. Tak nak begaduh. Saya bertanggungjawab,” katanya.

Diasak untuk mengulas lanjut mengenai tweetnya, Azmin berkata: "Saya tidak tahu. Hanya memberi tumpuan kepada isu-isu besar, seperti apa yang saya jelaskan."

Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tweetnya yang menempelak Saari dengan bertanya jika mahu memancing jawatan jawatankuasa eksekutif (exco) negeri tersebut.

"@SaariSungib nak jadi pengemis untuk jawatan EXCO ke?" sindir Azmin di akaun Twitter beliau pagi.

Tweet itu dipercayai sebagai tindak balas kepada komen Saari pada forum malam semalam, yang menyoal sama ada Azmin sedang bermain main politik istana berbahaya untuk mewajarkan keputusan mengekalkan PAS dalam kerajaan negeri.

Saari juga dilaporkan memberitahu Azmin bahawa adalah tidak produktif untuk meneruskan kerjasama dengan PAS, dengan alasan bahawa parti Islam itu "tidak lagi boleh diperbaiki".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS