Malaysiakini BERITA

Abim gagal lagi halang kerajaan sertai TPPA

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan dua NGO lain bagi mencabar keputusan kerajaan menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Keputusan itu dibuat oleh tiga Hakim iaitu Datuk Rohana Yusuf, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebri di Putrajaya hari ini.

Peguam Abim, Mohamed Haniff Katri Abdullah berkata, beliau telah dimaklumkan oleh anak guamnya bahawa keputusan hari ini tidak memihak kepada mereka supaya meneruskan prosiding ke tahap seterusnya.

"Mahkamah hari ini sebulat suara berpendapat, mereka percaya bahawa kandungan TPPA tidak akan menjejaskan perkara 152 Perlembagaan dan tak menjejaskan hak bumiputera dan pribumi,” katanya.

"Kami dah dimaklumkan, jika keputusan tak memihak kepada kami supaya meneruskan prosiding sedia ada ke tahap lebih tinggi.

"Kita juga menanti keputusan kehakiman secara bertulis," katanya kepada pemberita.

Pada November tahun lalu, tiga wakil NGO berkenaan memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah penggantungan terhadap tiga responden daripada meneruskan proses menandatangani TPPA hingga permohonan mereka diputuskan oleh mahkamah.

Mereka menamakan perdana menteri, kementerian perdagangan antarabangsa dan industri serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara tuntutan lain yang dibuat ialah mewajibkan responden mededahkan teks perjanjian TTPA dan faedah yang bakal diperolehi kepada umum.

Rundingan TPPA dimuktamadkan pada 5 Oktober tahun lalu di Atlanta, Amerika Syarikat.

Malaysia menandatangani perjanjian itu Februari lalu.

Rundingan TPPA yang julung kali dilancar pada 2005, membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam.