Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johor cadang perkenal teksi air ke S'pura
Diterbitkan:  Jul 27, 2016 6:11 AM
Dikemaskini: 10:40 PM

Kerajaan negeri Johor bercadang untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi air dari terminal feri baru Kong Kong dekat
Pasir Gudang di Johor Bahru ke Terminal Feri Changi di Singapura.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata cadangan mengenainya akan dibawa ke peringkat kerajaan pusat tidak lama lagi untuk mendapatkan kelulusan.

Menurutnya, pelaksanaan itu adalah perlu sebagai alternatif bagi memendekkan tempoh perjalanan penduduk antara kedua-dua negara yang kini dihimpit masalah kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura.

"Pada masa sama, ia juga diharap dapat membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat di sekitar Tapak Terminal Feri Kong Kong," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan Aidilfitri bersama pemandu teksi Johor Baharu-Singapura, di Johor Bahru semalam.

"Saya ingat kalau Kuala Lumpur (kerajaan persekutuan) memberi kebenaran untuk membuat kajian, mungkin kita dapat menyaksikan perkhidmatan itu dilaksanakan mulai tahun hadapan.

"Namun, ia bergantung kepada keadaan kerana kita perlu tahu harga (kos pelaksanaan) feri, berapa caj yang kita hendak kenakan dan sebagainya," kata beliau.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan permohonan peruntukan daripada Persatuan Pemandu Teksi Johor Baharu-Singapura bagi membolehkan mereka mengikuti kursus bahasa.

Katanya kesediaan itu mencerminkan keperibadian pemandu teksi yang bersedia untuk menambah baik kemahiran mereka terutama kebolehan berinteraksi dalam pelbagai bahasa yang dilihat penting dalam menerima kedatangan pelancong ke
negeri ini.


- Bernama

Lihat Komen
ADS