Dua rakyat Malaysia adalah antara puluhan mangsa yang cedera dalam kejadian letupan bom di lapangan terbang antarabangsa Haadyai, Thailand malam tadi.

Jurucakap Konsulat Malaysia di Songkhla memberitahu Bernama , kedua-dua mereka dikenali sebagai Lim Teng Sin dan Ang Sin Chuan.

Kedua-dua lelaki pertengahan umur itu dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan dipercayai telah pulang ke Malaysia, katanya.

Jurucakap itu berkata pihaknya tidak mempunyai butiran mengenai kedua rakyat Malaysia itu seperti alamat mereka di Malaysia dan tujuan mereka ke Thailand.

"Kami yakin mereka dah balik Malaysia, Kami dah semak di semua hospital di Haadyai dan nama mereka tidak ada," katanya.

Katanya konsulat Malaysia akan terus memantau keadaan dan perkembangan di selatan negara gajah putih itu.

Dua mati, 50 cedera

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam tadi waktu tempatan (9.30 malam waktu Malaysia) dilaporkan sekurang-kurangnya dua orang mati dan lebih 50 orang cedera dalam tiga letupan bom di wilayah Songkhla.

Letupan itu berlaku di Lapangan Terbang Haadyai, pusat beli-belah Carrefour dan tempat letak kereta hotel Green World Palace di bandar Songkhla.

Polis Thailand kini mengawasi dua lagi pasar raya besar di Haadyai iaitu Big C dan Lotus yang turut menjadi tumpuan rakyat Malaysia.

Letupan bom itu adalah antara beberapa siri keganasan yang berlaku di selatan Thailand sejak awal tahun lepas.

Dilaporkan lebih 600 orang telah terkorban dalam beberapa siri keganasan terutama di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani.

Siri kejadian itu menyebabkan industri pelancongan Thailand terjejas teruk dan kejadian malam tadi diramal akan turut menjejaskan kegiatan ekonomi Haadyai yang selama ini dianggap sebagai bandar yang selamat.

Bandar Haadyai, sebuah bandar pelancongan terbesar di selatan Thailand terletak kira-kira 70km dari sempadan Malaysia-Thailand sama ada dari Padang Besar atau Bukit Kayu Hitam.