Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP akui berdepan risiko adakan p'raya mengejut
Diterbitkan:  Jul 27, 2016 4:40 PM
Dikemaskini: 10:38 AM

DAP akui bahawa cadangan mengadakan pilihan raya mengejut Pulau Pinang turut didampingi risiko kehilangan banyak kerusi Pakatan Harapan kepada BN, kata Anthony Loke.

Beliau yang merupakan setiausaha penganjur DAP berkata, bagaimanapun, sekarang adalah masa terbaik untuk menyerang Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Dengan isu 1MDB, dengan isu pendedahan Jabatan Kehakiman (DOJ) yang begitu besar, ia merupakan kelebihan besar kepada Pakatan Harapan. Kita nak masuk dalam kempen pilihan raya dalam mood serang. Inilah masa yang paling baik untuk kita serang BN, serang Najib.

"Kita lihat Najib sendiri tidak berani adakan pilihan raya umum dalam masa sekarang kerana beliau tak berani menghadapi pengundi dengan isu baru yang menjadikannya sebagai beban," jelas Loke dalam wawancara bahagian 1 bersama Roketkini.

Mengulas lanjut mengenai risiko berkenaan, Loke menambah, jika terus berfikiran negatif, ia membawa maksud kalah walaupun sebelum memasuki gelanggang perlawanan.

"Kalau kita masuk gelanggang dan fikir kita akan kalah, pencapaian tak baik, saya nak tanya balik, bagaimana kalau kita dapat kemenangan dan pencapaian yang lebih besar? Bukankah itu akan menjana satu gelombang untuk PRU ke-14?.

"Memang kita akui ada risiko tetapi itu satu risiko yang kita dah ambil kira sebagai calculated risk. Mengapa kita perlu ambil risiko ini? Pertama, seperti saya katakan tadi, untuk melawan semula pendakwaan politik yang berlaku.

"Kalau kita ini dia (BN), Najib rasa you tak adalah semangat untuk lawan dia. Kita boleh buat apa saja, you tak mampu lawan. Jika kita terus berdiam dalam perkara ni, kita dah buat tindakan yang terlalu pasif," ujarnya.

Ditanya mengenai kewajaran dan kepentingan mengadakan pilihan raya itu yang masih ramai yang belum memahaminya, beliau menambah, bagi DAP, ia penting sebagai tindak balas terhadap pendakwaan politik yang dikenakan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Kita perlu ada satu tindakan, iaitu melalui pendekatan politik untuk lawan balik apa yang dilakukan BN ke atas Lim.

"Keduanya, ia sebagai satu pendekatan untuk menjana momentum Pakatan Harapan bagi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-14," tambah beliau.

Berkenaan dakwaan sesetengah pihak yang melihat pilihan raya mengejut itu sekadar mahu membela Lim, Loke berkata, ia bukan soalnya.

"Isu beliau menjadi penjana kenapa kita perlu adakan pilihan raya. Objektif untuk kita menang pilihan raya negeri ini bukan soal Lim kerana ia tak dapat mempengaruhi keputusan mahkamah.

"Mahkamah akan meneruskan pendakwaan itu, memang kita tahu apa pun keputusan pilihan raya itu, pendakwaan terhadap Lim tidak akan digugurkan.

"Jika Pakatan Harapan menang lebih banyak kerusi pun, peguam negara takkan ditukar. Kecualilah jika kita menang peringkat persekutuan," jelasnya.

Lihat Komen
ADS